Yeoh: Kami terluka dengan kata-kata Syed Saddiq


Pertama kali menang pilihan raya pada 16 tahun lalu, Hannah Yeoh boleh dikatakan sudah biasa dengan perubahan dalam sekutu politik namun mengakui bahawa mendengar kritikan pedas daripada bekas sekutu adalah sesuatu yang "amat menyakitkan".

Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian apabila ditanya apakah perasaannya apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kesetiaan orang bukan Melayu terhadap negara serta Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggelarkan DAP sebagai "lapdog" kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

"Pertamanya saya ingin katakan orang baik dan orang jahat ada dalam setiap parti dan kita cenderung untuk menarik orang yang ada sistem nilai yang sama.

"Dan selepas banyak tahun saya ada ramai kawan baik dalam politik, walaupun gabungan telah berubah. PAS tidak lagi bersama DAP seperti ketika Pakatan Rakyat (2008 hingga 2015) tapi saya ada kawan-kawan yang sangat baik seperti Allahyarham Abdul Rani Osman, bekas Adun Meru.

"Sehingga kini saya masih berhubung dengan keluarganya. Dan walaupun kami dari gabungan politik berbeza, saya keluar makan bersamanya (Abdul Rani) dan kami kekal berhubung sehingga dia meninggal dunia," katanya. Abdul Rani meninggal dunia pada 23 Januari 2023.

Namun, bagi Yeoh, mendengar rakannya, Syed Saddiq mengecam DAP dengan menyifatkan parti itu sebagai "hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip" semasa bertikam lidah dengan Nga Kor Ming pada September lalu tetap sesuatu yang sukar.

"Saya rapat dengan Syed Saddiq dan faham anak muda ini percaya dengan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum. Anda perlu berikan kredit kepadanya untuk itu.

"Saya tak tahu apa yang perlu dikatakan sebab saya tidak ulas perkara ini secara terbuka, tetapi ya, pastinya ada rasa terluka.

"Saya ada kawan dalam Muda tetapi sekarang, terutama selepas Muda bertanding lawan DAP dalam PRN lepas, ia agak melukakan buat kami.

"Saya pasti jika anda tanya Muda, mereka juga akan kata yang mereka juga ada rasa terluka sebab mereka ingin menjadi sebahagian dalam PH tetapi tidak diterima," katanya.

Selepas kewujudan pelbagai gabungan politik, kata Yeoh, semua parti politik perlu faham apabila anda bersaing secara sihat dalam sistem politik, anda tetap perlu mengambil kira kemungkinan perlu bekerjasama dengan parti seteru.

"Jika kita benar-benar menemui persamaan dalam perjuangan dan mengetepikan perbezaan, Malaysia benar-benar boleh bergerak ke hadapan.

"Saya bercakap tentang ini sebab saya rasa kita benar-benar mengalami 'setback' selama beberapa tahun, ada orang kata berdekad.

"Sama ada pendidikan atau ekonomi, saya tahu perdana menteri benar-benar cuba bersungguh-sungguh untuk bergerak ke hadapan dan saya harap rakyat Malaysia dapat bersabar," katanya lagi.

Cabaran DAP


Yeoh mengakui yang jika DAP ingin menjadi ejen perubahan untuk negara, parti itu perlu mencapai sesuatu yang tidak pernah dikecapi sejak penubuhannya pada 1965, iaitu menyingkirkan imej sebagai parti hak minoriti yang didominasi pemimpin Cina.

"Saya hanya boleh bandingkan tahun ini dengan 2008. Saya lihat kedudukan kami sekarang dan ahli parlimen seperti Syahredzan Johan, Rara (Young Syefura Othman) dan Syerleena Abdul Rashid yang memainkan peranan di Parlimen dan saya tahu kami telah mencapai kemajuan.

"Kami lebih kuat sebagai sebuah parti dengan kepelbagaian, yang menjadi kekuatan kami. Jadi ini adalah soal dalaman, kami banyak berbincang tentangnya, tentang betapa kami patut meletakkan lebih ramai calon dari pelbagai (kaum).

"Saya ingin lihat lebih ramai pemimpin Kadazan dan Iban dicalonkan untuk mewakili DAP dan saya tahu kami akan dapat melakukannya. Memang tiada peminggiran (terhadap ahli bukan Cina). Ia tentang mencari calon yang tepat dan kalangan yang sanggup menyertai kami," katanya lagi.

Katanya lagi, dengan gabungan pembangkang didominasi dua parti yang memberi tumpuan kepada kaum dan agama, maka tidak mengejutkan apabila keadaan politik panas dan DAP menjadi sasaran.

"Sehingga hari ini, ada banyak fitnah di luar sana. Saya masih melihat hantaran TikTok yang menggelar kami sebagai evangelis, DAP Cina dan sebagainya."

Baginya, dakwaan liar terhadap DAP masih dibuat untuk menghindari orang Melayu daripada menyertai parti itu, dan cara terbaik untuk melawannya adalah dengan bekerja bersungguh-sungguh sehingga apabila orang Melayu perlu memilih antara pemimpin PAS atau DAP dalam pilihan raya, mereka boleh membuat penilaian sendiri dan tidak takut untuk memilih DAP.

"Sebab itu kami semua bekerja keras begi mencari calon yang tepat dan membuktikan kami boleh berkhidmat kepada semua kaum dan agama," katanya lagi.

-Malaysiakini ( Baca berita asal )

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.