Bekas setiausaha politik (SUPOL) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menuntut Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta kerana mendakwa memfitnahnya.
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 22 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini, melalui firma guaman, Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co, Farhash Wafa, mendakwa Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengenainya di pekarangan Parlimen pada 14 November 2023.
Menurut bekas Pengerusi PKR Perak itu, kenyataan berkenaan jelas merujuk kepadanya yang menggambarkan kononnya beliau menawarkan rasuah atau mengugut ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan semasa.
Farhash Wafa selaku plaintif turut mendakwa, ia memberi gambaran bahawa beliau bersekongkol dan memberi arahan kepada individu dikenali sebagai "Datuk Botak", untuk menawarkan rasuah atau mengugut ahli parlimen lain bagi memperoleh sokongan untuk perdana menteri di Parlimen.
"Kenyataan berbaur fitnah itu memprejudis dan merendahkan perwatakan profesional, kepimpinan, reputasi dan kredibiliti saya.
"Ia turut diterbitkan di beberapa media sosial seperti Youtube rasmi Parlimen Malaysia, Tik Tok dan Whatsapp dan ia memalukan serta menyebabkan saya termasuk dalam kancah politik meskipun sudah lama meninggalkan arena itu.
"Ini juga turut memalukan saya selaku pengerusi dan pengarah beberapa syarikat tersenarai awam seperti 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Apex Equity Holdings Berhad, " katanya.
Sehubungan itu Farhash Wafa menuntut ganti rugi khas sebanyak RM10 juta dan ganti rugi pampasan, am, teruk serta teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Wan Ahmad Fayhsal
Beliau antara lain memohon perintah injunksi menghalang Wan Ahmad Fayhsal atau mana-mana ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah tersebut dalam apa cara sekalipun dan memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan hantaran yang dibuat di mana-mana laman sosial kawalannya.
Sumbar : BHARIAN
Post a Comment
Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.