BATU PAHAT: Seorang daripada tiga suspek yang ada kaitan dengan penemuan rangka milik Mila Sharmila Samsusah atau Bella, yang hilang sejak 14 Disember lalu, akan didakwa di mahkamah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya mengesahkan rangka ditemui dalam rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah adalah Bella selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sepadan dengan sampel daripada ibu dan kakak mangsa.

Ismail berkata, polis sudah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut jenazah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

"Analisis DNA yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 21 Januari lalu diterima polis hari ini," katanya dalam kenyataan.

Ujian DNA dijalankan pada Sabtu lalu dengan polis mengambil sampel tisu daripada Norhisham, 36, dan ibunya Noraini Salleh, 55, bagi menentukan rangka ditemui dalam rumah terbiar ialah Bella.

Sejak hari pertama penemuan rangka itu, Norhisham yang lebih mesra dengan panggilan Ayu serta ahli keluarganya cuba menenangkan keadaan dengan mengharapkan ia bukan adik bongsunya.

-Bharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.