KUALA LUMPUR: Polis melupuskan 1,059 kotak dan 35 guni mercun serta bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM4.1 juta yang dirampas dalam serbuan di dua premis di Taman Kepong, di sini.


Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua mercun dan pelbagai bunga api berkenaan yang dirampas pada 24 Mac lepas dipercayai untuk pasaran sempena perayaan Aidilfitri ini.


"Kesemua rampasan berkenaan telah mendapat kebenaran Mahkamah Majistret 2 Kuala Lumpur untuk dilupuskan melalui cara tersendiri oleh polis setelah permohonan dibuat pada 18 April lepas.


"Setelah tempoh masa rayuan kes selama 14 hari dari tarikh tertuduh dijatuhi hukuman (29 Mac 2022), permohonan pelupusan telah dibuat dan diluluskan pada 18 April," katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.


Beh berkata kesemua rampasan ini akan disembur dengan air dan digilis jentera berat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum dimampatkan oleh polis.


Sebelum ini, polis menahan lima lelaki warga tempatan berumur 21 hingga 51 tahun dan pada 29 Mac lepas, seorang individu berusia 51 tahun telah mengaku bersalah dan didenda RM14,000 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Menyimpan dan Menjual Bahan Letupan).


-- BERNAMA


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.