Harga rumah yang tinggi, selain kedudukan kewangan yang tidak kukuh menyukarkan peluang anak muda memiliki rumah sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.


Itu antara luahan golongan muda di Pulau Pinang mengenai kesukaran mereka memiliki kediaman sendiri kerana purata harga rumah ketika ini mencecah RM200,000 ke atas termasuk rumah PRIMA yang dibangunkan kerajaan.


Bagi Mohd Shafie Ghazali, 30, yang merupakan seorang jurutera, sukar buat golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri berikutan harga rumah melambung tinggi terutama yang dibangunkan pemaju swasta.


"Sebelum ini memang kita ada banyak program perumahan untuk anak muda melalui SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad), melalui pelbagai Lembaga, banyaklah yang dijalankan tetapi kita lihat tidak semua anak muda dapat menikmatinya.


"Satu mungkin disebabkan prosedur ataupun erti kata lain pendapatan anak muda itu sendiri tidak melepasi tahap-tahap tertentu yang sepatutnya. Jadi kita harap selepas ni mungkin boleh diberi kelonggaran seperti itulah samaada rumah kerajaan ataupun rumah swasta. Rumah swasta kita lihat mudah untuk didekati tetapi sukar untuk dimiliki," katanya ketika ditemui Astro AWANI.


Naib Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP), Mohd Shukri Che Wang, 36, pula menyambut baik hasrat kerajaan untuk memperbanyakkan unit rumah agar mampu dimiliki anak muda termasuk melalui Program HOPE (Program Pemilikan Rumah).


Namun ujarnya, kerajaan perlu berkolaborasi dengan pihak bank bagi membolehkan anak muda yang berpendapatan rendah turut berpeluang memiliki rumah.


"Kerajaan perlu bincang dengan bank-bank untuk memudahkan golongan belia untuk membuat pinjaman. Kita tahu contohnya golongan yang bekerja dalam golongan gig seperti penjaja yang tiada payslip dan sebagainya dia akan sukar untuk membuat pinjaman perumahan. Jadi, kerajaan perlu teliti perkara ini untuk kaedah yang baru untuk memudahkan anak muda memiliki rumah," katanya.


Sementara itu, penuntut kolej, Norfarahani Farisha Shukri, 21, pula berpandangan terlalu sukar untuk membeli rumah dibangunkan pihak swasta atau kerajaan kerana rata-rata harganya mencecah RM300,000 ke atas.

Ia memberi kesan kepada anak muda yang baru bekerja disebabkan kedudukan kewangan mereka yang belum stabil.


"Sepertimana yang kita ketahui rumah-rumah yang disediakan oleh kerajaan sekarang ini kosnya agak tinggi jadi, belia-belia yang baru bekerja mempunyai gaji hanya gaji minimum.


"Sekiranya untuk mereka memiliki rumah mereka perlu allocate gaji mereka kemungkinan separuh daripada gaji hanya untuk rumah namun, rumah-rumah yang disediakan oleh kerajaan agak di pedalaman di kawasan pedalaman yang akan menyebabkan mereka susah untuk akses ke bandar untuk membeli barang ataupun untuk pergi bekerja," katanya.


Sehubungan itu, Norfarahani Farisha berharap kerajaan terbabit sepenuhnya dalam projek pembinaan rumah mampu milik selain membendung kenaikan kos bahan binaan yang akan memberi kesan kepada harga rumah.

-Astroawani

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.