KOTA KINABALU: Kes baharu di Sabah melonjak naik mencecah melepasi angka dua ribu iaitu 2,052 hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata penularan wabak COVID-19 di dua tempat kerja menjadi punca peningkatan mendadak terbabit.


“Sejumlah 209 pekerja direkodkan dijangkiti virus COVID-19 di sebuah pelantar minyak (offshore) manakala 109 pekerja turut dijangkiti di sebuah tapak binaan yang terletak berhadapan pusat beli belah di Jalan Tun Fuad Stephen di sini yang terdiri daripada warga Filipina, China dan warga tempatan.


“Ini menjadikan jumlah yang amat tinggi bagi daerah Kota Kinabalu dengan mencecah 635 kes,” katanya dalam kenyataan harian COVID-19 semalam.


Menurutnya daripada 2052 kes baharu itu, 914 kes bersamaan 44.5 peratus melibatkan kontak rapat, 440 adalah kes melalui saringan bergejala, 91 daripada kluster sedia ada dan 71 melalui saringan bersasar manakala 296 adalah lain-lain kategori.


Tambahnya 720 pesakit positif adalah dalam kategori 1, 914 orang bagi kategori dua, 22 orang kategori tiga dan enam orang dalam kategori empat serta dua lagi kategori lima manakala 388 yang lain masih dalam siasatan.


“Untuk hari ini berapa daerah turut mengalami penambahan kes baharu yang tinggi iaitu Tuaran 126, Tawau 178, Beaufort 86, Kota Belud 84, Lahad Datu 50, Ranau 44, Telupid 77, Sipitang 46 dan Tongod 21 dengan sebahagian besar naik dua kali ganda berbanding hari sebelumnya.


“Hanya Semporna dan Kunak mencatatkan 10 kes dan tiga daerah mencatatkan kurang lima kes iaitu Nabawan lima, Kudat tiga dan tiada kes di Kinabatangan,” katanya.


Masidi berkata Sabah juga mencatatkan satu kluster baharu iaitu kluster Batu Linting, Kuala Penyu yang mencatatkan 29 kes keseluruhan selepas pertambahan lapan kes baharu.


-utusanborneo


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.