KOTA KINABALU: Hanya individu lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan mengunjungi pasar raya serta dine-in dalam restoran.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu itu berkuatkuasa serta-merta.


"SOP ini termasuklah mereka yang sebagai pekerja serta semua pelanggan Pasar raya dan Hypermarket selain berstatus risiko rendah COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera.


"Penggunaan aplikasi Mysejahtera diwajibkan di semua kawasan yang mempunyai capaian internet. Pengecualian hanya diberikan di kawasan yang tidak mempunyai capaian internet.


"Suhu badan melebih 37.5 darjah celsius dan tidak memakai pelitup muka tidak dibenarkan memasuki premis," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Beliau berkata, operasi hotel dan penginapan dibenarkan bagi pelanggan dalam daerah dengan syarat pekerja dan pelawat juga lengkap dua dos vaksinasi.


Katanya, aktiviti rentas daerah di Sabah masih belum dibenarkan. Namun, pergerakan pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur di bawah 18 tahun dibenarkan merentas daerah dalam negeri dengan syarat mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengemukakan dokumen berkaitan.


"Kerajaan masih mengekalkan SOP hanya dua orang wakil isi rumah dalam sebuah kenderaan untuk keluar membeli barangan keperluan harian.


"Maksimum tiga orang dalam kenderaan hanya kepada pesakit dibenarkan bagi mendapatkan rawatan atau perubatan," katanya.


Menurutnya, kanak-kanak dibawah 12 tahun tidak dibenarkan berada di dalam premis perniagaan dan kemudahan awam kecuali perubatan, pendidikan, kecemasan serta senaman. Individu berumur melebihi 70 tahun pula tidak digalakkan.


-utusanborneo


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.