Datuk Stephen Wong Tien Fatt

KOTA KINABALU 28 Mac – Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 65, me­ninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu di sini pada jam 12.15 tengah hari ini.

Setiausaha Politik kepada mendiang, Phoong Jin Zhe berkata sebelum itu, Tien Fatt keluar dari rumah pada jam 5.05 pagi untuk menyertai aktiviti merentas hutan di Putatan anjuran sebuah NGO.

Menurutnya, memandangkan keadaan masih awal untuk berkumpul, mendiang bersarapan dahulu dengan pemandunya di kedai kopi dan pada ketika itu, keadaan beliau masih baik.

Pada kira-kira jam 8.30 pagi selepas selesai menyertai aktiviti merentas hutan, Tien Fatt berasa tidak selesa dan sakit dada lalu berehat seketika, kata Jin Zhe dalam kenyataan di sini.

Dalam perjalanan balik ke rumah, katanya, mendiang masih berasa kurang selesa dan apabila keadaannya semakin tenat, pemandu Tien Fatt menghantarnya ke hospital kira-kira 9.35 pagi.

Bagaimanapun, kata Jin Zhe, selepas rawatan kecemasan, Tien Fatt menghembus nafas terakhir pada jam 12.15 tengah hari.

Mendiang meninggalkan isteri, empat anak dan dua cucu.

Menurut Jin Zhe, jasad mendiang kini ditempatkan di Fook Lu Siew Kota Kinabalu sehingga esok bagi memberi peluang kepada keluarga dan rakan memberi penghormatan terakhir.

Katanya, jasad mendiang akan dihantar balik ke Sandakan pada Sabtu ini untuk upacara rasmi dan penghormatan terakhir.

Beliau menyifatkan mendiang sebagai seorang menteri yang rajin berkhidmat dan bekerja keras demi rakyat sejak dilantik sebagai wakil rakyat. – BERNAMA

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.