Tokyo: Gas saraf VX yang digunakan bagi membunuh Kim Jong-Nam adalah senjata kimia bahaya yang diharamkan - dikategorikan sebagai senjata pemusnah oleh PBB.

Saintis Amerika Syarikat memberi nama kod VX itu ketika menghasilkannya secara besar-besaran dan dianggap ejen kimia paling bahaya pernah dihasilkan, 10 kali ganda lebih kuat berbanding gas Sarin.

Amerika menyimpan senjata kimia itu dalam jumlah yang besar ketika era Perang Dingin.


Melalui Konvensyen Antarabangsa Senjata Kimia 1997, negara dibenarkan menyimpan gas itu untuk tujuan penyelidikan sahaja dan perlu mengisytiharkannya.

Bagaimanapun, Korea Utara yang tidak menandatangani konvensyen itu, dikatakan memilik sehingga ratusan tan gas VX.

VX tulen tiada bau dan kelihatan jernih, kelihatan seperti minyak pelincir enjin dan stabil untuk dibawa ke mana-mana selain sukar dikesan menjadikannya sesuai sebagai senjata pembunuh.

“Lima miligram kimia itu yang diletak pada kulit boleh membunuh orang dewasa seberat 70 kilogram,” kata bekas pengetua Sekolah Kimia Pasukan Pertahanan Darat Jepun, Yosuke Yamasato.

Menurutnya, beliau terkejut kerana pembunuh Jong-nam meletakkan kimia itu pada mangsa tanpa perlindungan, seperti sarung tangan.

“Mereka mungkin tidak tahu bahawa bahan itu adalah VX,” katanya.

Menurutnya, VX menyerang saraf dengan pantas dan dos yang banyak boleh membunuh dalam masa beberapa minit selepas disedut kerana aliran darah akan menyebarkannya ke organ penting.

Gas saraf berfungsi menyebabkan kesukaran bernafas dan kesannya bergantung kepada sama ada disedut atau terkena kulit yang lebih perlahan kesannya,

Terdedah kepada bahan itu dalam jumlah yang sedikit tidak membawa maut.

Ia mempunyai penawar namun perlu dirawat dengan pantas. Tentera Amerika membawa penawar itu bersama dalam bentuk jarum suntikan ketika Perang Iraq.

VX dicipta dalam makmal Britain pada awal 1950-an, sebelum Amerika membangunkannya secara besar-besaran ketika perlumbaan senjata dengan Soviet pada Perang Dingin.

Ribuan tan VX disimpan di Depoh Kimia Newport, Indiana, sebelum dimusnahkan pada 1980-an.

Ia dilaporkan digunakan dalam beberapa peperangan dengan kesan gas itu ditemui ketika kematian 5,000 orang di Halajba, bandar penduduk Kurdish pada 1998.

Pada 1994 gas VX digunakan kumpulan ajaran Aum di Jepun untuk membunuh seorang di Osaka.-Hmetro

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.