Suspek pembunuh Jong-Nam gunting rambut sebelum kejadian


Suspek wanita memakai baju T dengan akronim LOL yang ditahan berhubung kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, menginap di hotel murah, membawa banyak wang tunai dan memotong rambutnya sehari sebelum serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menurut seorang penyambut tetamu di satu daripada hotel terbabit, wanita yang mendaftar menggunakan nama Vietnam, Doan Thi Huong pada 12 Februari lalu meninggalkan hotel itu awal pagi Isnin lalu dan kembali semula selepas itu tanpa menunjukkan tanda tertekan.

Polis percaya dia yang mendekati Jong-nam dari belakang di klia2 dan menyemburkan racun ke mukanya, 8.20 pagi Isnin lalu.

Doan dan suspek kedua mendakwa perbuatan dilakukan itu hanya gurauan.

Bagaimanapun, kakitangan di dua hotel berhampiran lapangan terbang memberi maklumat terperinci pergerakan Doan sebelum kejadian pembunuhan yang kelihatan sengaja dilakukan dan dibuat dengan tenang.

Banyak wang tunai, potong rambut

Doan ke hotel dua bintang pertama berhampiran lapangan terbang dan mendaftar masuk pada 11 Februari lalu.

Seorang kakitangan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia duduk di dalam bilik yang paling murah yang tidak mempunyai tingkap.

Sementara itu, penyambut tetamu yang hanya mahu dikenali sebagai Sia berkata, Doan mahu melanjutkan penginapannya dan bersedia untuk membayar dengan timbunan wang di tangannya.

Selepas satu malam, Doan mendaftar masuk ke hotel kedua dan tiba dengan beg pakaian, beg galas dan beruang teddy besar, kata penyambut tetamu di hotel itu yang enggan dikenali.

Beliau berkata, Doan bercakap bahasa Inggeris yang boleh difaham.

Dia meminjam gunting dari meja depan pada petang sebelum hari kejadian dan kakitangan hotel turut mendapati rambut di atas lantai dan dalam bakul sampah biliknya pada hari berikut.

"Kakitangan itu menemui gunting di atas meja di bilik dan ada rambut bertaburan di atas lantai bilik. (Doan) membuang rambut ke dalam tong tetapi masih berselerak," kata penyambut tetamu itu.

Beliau berkata, pada hari berikutnya Doan memakai baju seperti dirakam CCTV.

Doan keluar pagi itu dan apabila kembali, dia kelihatan tenang dan "tidak kelihatan marah atau bimbang".

Doan mengadu mengenai sambungan WiFi di dalam biliknya dan apabila diberitahu ia tidak boleh dibaiki sehingga petang, dia mendaftar keluar dari hotel itu.

Beliau kemudian mendaftar masuk ke hotel ketiga yang berdekatan dan keluar selepas satu malam, kata seorang kakitangan di hotel itu.

Tidak diketahui di mana Doan pergi seterusnya.

Polis berkata, dia ditahan pada pagi Rabu, kira-kira 48 jam selepas pembunuhan itu, di terminal yang sama di mana Kim Jong Nam diserang.

Sementara itu, penyiasat persendirian berkata, tingkah lakunya sama seperti ejen perisik.

"Jika anda bertanya saya jika pergerakannya menunjukkan dia seorang ejen risikan, saya akan mengatakan ya.

"Itulah cara mereka beroperasi. Ubah penampilan, urus niaga tunai, tiada jejak kertas dan sentiasa bergerak," katanya.

Suspek wanita kedua dari setinggan Jakarta

Sementara itu, wanita Indonesia yang ditangkap semalam, Siti Aisyah, hidup sederhana di kawasan setinggan di Jakarta sebelum pergi untuk mencari kerja di Malaysia, kata penduduk di situ.

Jalan di daerah Tambora itu terlalu sempit untuk membolehkan kereta melaluinya. Tali untuk gantung pakaian kelihatan di atas rumah kecil konkrit kebanyakannya juga tempat perniagaan kecil atau menjual pakaian dan makanan.

Di Jakarta, Aisyah mengambil upah menjahit pakaian di rumah keluarga bekas suaminya dan menjahit pakaian itu dengan tangan, kata bekas jirannya di daerah Tambora.

"Saya tidak percaya apa yang disiarkan. Latar belakangnya adalah biasa saja," kata pemimpin masyarakat, R Yusri.

Aisyah dan suaminya berpindah ke Malaysia beberapa tahun lalu tetapi berpisah pada 2012.

Bekas bapa mertuanya berkata, dia pulang ke Jakarta pada 28 Januari untuk melawat anak lelakinya berusia tujuh tahun. Ketika itu, Aisyah kelihatan lebih kurus dan berbatuk.

Jiran, Ida Anisafitri berkata, Aisyah banyak berdiam diri apabila dia berkunjung ke situ.

"Kadangkala kami melihatnya bersama anaknya sebelum dia masuk balik ke dalam rumahnya," katanya.-Hmetro

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.