Polis Malaysia telah mengumumkan bahawa suspek ketiga dalam kes pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, Kim Jong-nam, telah ditahan.

Polis berkata bahawa suspek lelaki yang berwarganegara Malaysia itu dipercayai merupakan teman lelaki salah seorang daripada dua wanita yang ditahan sebelum ini.

Pada pagi Rabu, polis telah menahan seorang wanita warga negara Vietnam yang dipercayai suspek pembunuhan tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara tersebut berkata tangkapan ke atas suspek dengan nama ‘Doan Thi Huong’, berusia 29 tahun dilakukan pukul 8.20 pagi Rabu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Wanita kedua yang ditahan awal pagi ini berhubung kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, adalah pemegang pasport Indonesia.

Khalid berkata suspek kedua itu bernama Siti Aishah yang dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Februari 1992.

“Polis juga mengesahkan bahawa identiti suspek itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup di klia2 dan wanita itu keseorangan ketika ditahan.

“Siasatan akan berterusan dan tindakan terhadap suspek akan diambil mengikut undang-undang,” kata Khalid dalam kenyataan di sini, Khamis.

Isnin lepas, Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau, China apabila seorang wanita dikatakan menghampiri mangsa sebelum menerkup kepalanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Berikutan penahanan dua suspek wanita itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata lebih banyak tangkapan dijangkakan selepas ini.

Difahamkan, polis sedang memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.