Putrajaya: Kementerian Luar memanggil Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol, hari ini bagi mendapatkan penjelasan berkenaan tuduhan beliau terhadap Kerajaan Malaysia dalam sidang akhbar, Jumaat lalu.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Kang Chol bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala, Raja Nushirwan Zainal Abidin.


Pada pertemuan itu, Kementerian Luar menekankan memandangkan kematian berlaku di Malaysia dalam keadaan yang mencurigakan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

"Penyiasatan kes ini dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan mengikut undang-undang Malaysia.

"Kedutaan Besar Korea Utara juga turut dimaklumkan kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut; oleh itu, proses bedah siasat perlu dijalankan.

"Kedutaan juga dimaklumkan sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada pihak waris mengikut undang-undang dan prosedur yang sedia ada di Malaysia," katanya.

Menurutnya, kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus dan kedutaan juga akan dimaklumkan perkembangan berkaitan penyiasatan ituproses yang terbabit mengikut undang-undang Malaysia.

"Kerajaan Malaysia menganggap kritikan yang dibuat oleh Duta Besar itu sebagai tidak berasas.

"Kerajaan Malaysia mengambil serius di atas segala tuduhan yang dilemparkan bertujuan untuk mencemarkan reputasi Negara," katanya.

Selain itu, katanya, Duta Besar Malaysia di Pyongyang sudah dipanggil kembali ke Kuala Lumpur untuk proses perundingan.

Jumaat lalu, Kang Chol mempersoalkan tindakan pihak berkuasa Malaysia yang masih tidak mahu menyerahkan jasad Jong-nam walaupun mangsa disahkan rakyat mereka.

Sebelum itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, mereka memerlukan sampel DNA ahli keluarga untuk dipadankan dengan si mati sebelum mayat itu diserahkan.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un maut selepas dikatakan disembur dan ditekup dengan kain mengandungi cecair racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). -Hmetro

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.