KOTA KINABALU: Dua lelaki ditemui mati di dalam sebuah kereta Jenis Toyota Land Cruiser dipercayai terkena beberapa das tembakan daripada dua suspek menaiki motosikal di Jalan Kolam, Luyang di sini kira-kira jam 7.35 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

Katanya, dua orang suspek masing-masing penunggang dan pembonceng motosikal dipercayai melepaskan lapan das tembakan berdasarkan kesan pada kenderaan terbabit.

“Ada tiga orang dalam kenderaan terbabit iaitu pemandu berumur 35 tahun dan dua rakannya, masing-masing saudara kembar iaitu penumpang hadapan dan penumpang belakang yang berumur 23 tahun.

“Tembakan disasarkan kepada mangsa iaitu pemandu dan turut terkena rakannya di tempat duduk penumpang hadapan. Penumpang belakang tidak cedera.

“Mangsa adalah ahli perniagaan dan berasal dari Sibu, Sarawak,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.