Ketika berita penyingkiran beberapa pemimpin kanan Umno semakin hangat diperkatakan, salah satu bahagian parti itu yang terlibat secara langsung dalam isu berkenaan hari ini tampil mengemukakan sembilan soalan secara terbuka.
Kenyataan dikeluarkan Umno bahagian Semporna itu juga mengingatkan pucuk pimpinan parti berkenaan bahawa tokoh yang dilihat kritikal terhadap Datuk Seri Najib Razak itu mempunyai penyokong tegar di seluruh negara.
"Tujuh pemimpin yang disebut-sebut itu - terutama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - bukan hanya mempunyai penyokong tegar di kawasan yang mereka wakili malah ada di seluruh negara.
"Perlu diingatkan bahawa setiap undi dan kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 nanti adalah penting kepada survival Umno," kata kenyataan berkenaan.
Pertanyaan yang dikemukakan Umno Semporna hari ini adalah:
  • Adakah bersuara demi kepentingan rakyat kini bukan lagi keutamaan kepada parti?
  • Adakah syarikat 1MDB menjadi institusi yang lebih penting, berkuasa dan lebih besar pengaruhnya berbanding Umno?
  • Adakah 1MDB ini milik Umno?
  • Adakah dengan menyokong 1MDB ini dapat menguatkan parti Umno?
  • Adakah melalui penyingkiran, pengantungan dan pemecatan pemimpin dan bekas pemimpin Umno dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti?
  • Adakah pemimpin serta Setiausaha Agong Umno sedar majoriti ahli parti dan rakyat percaya bahawa pemimpin yang kononnya dikhabarkan sedang dipantau itu menyuarakan sesuatu isu yang sememangnya dekat dengan hati rakyat?
  • Kuat sangatkah Umni pada hari ini hinggakan pemimpin atasan seolah-olah lupa bahawa asas perjuangan Umno adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan pemimpin?
  • Adakah desakan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan dan penyelewangan itu selarin dengan kenyataan Najib sebagai Presiden Umno?
  • Dalam konteks Sabah pula, apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat negeri itu jika Mohd Shafie disingkirkan kerana menyataan kebimbangan terhadap parti?

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.