Penjualan minuman keras atau beralkohol sungguh merisaukan. Ia boleh diperoleh de­ngan mudah di kedai serbaneka dan pasar raya. Ini menjadikan jumlah pesakit dengan masalah berkaitan komplikasi akibat pengambilan alkohol makin meningkat.

Komplikasi boleh berlaku pada jasmani dan juga memberi kesan pada mental pesakit yang ketagih alkohol. Kandungan minuman keras yang mengandungi etanol ini boleh merosakkan semua organ badan manusia, terutama yang mengambil dengan kuantiti ba­nyak dan kerap. Otak antara organ paling awal yang boleh mengalami komplikasi akibat pengambilan alkohol.

Untuk jangka masa pendek, ia boleh menjejaskan keupayaan seseorang membuat pertimbangan serta menyebabkan mabuk. Ini berlaku kerana aras etanol mengganggu penghantaran impuls pada saraf otak manusia.

Kerosakan ini juga menyebab­kan kesan jangka masa panjang kerana ia mengganggu proses perkembangan otak, seterusnya menyebabkan seseorang menjadi nyanyuk.

Ia juga menyebabkan sistem keseimbangan badan terganggu dan menjadikan badan pesakit tidak stabil, malah menjejaskan saraf mata yang menyebabkan gangguan penglihatan. Radang boleh berlaku di sepanjang tisu atau organ pencernaan manusia.

Kanser mulut, perut dan hati adalah komplikasi jangka masa panjang yang boleh berlaku. Hati manusia ialah tempat di mana metabolisma etanol dalam alkohol berlaku.

Ini menyebabkan sel hati berkenaan rosak dan mengakibatkan ia gagal berfungsi dan akhirnya hati mengecut atau sirosis berlaku. Akhirnya kanser hati terjadi disebabkan oleh pengecutan hati yang menjadikan sel hati itu tidak normal.

Usus perut yang pada asalnya menjadi radang atau gastrik disebabkan hakisan lapisan perut oleh etanol, akan menyebabkan luka lebih dalam atau ulser boleh terjadi. Ini menyebabkan pendarahan dalam perut yang seterusnya membuatkan seseorang muntah darah.

Untuk jangka masa panjang, jika berterusan, kanser perut akan berlaku. Sistem pembiakan manusia juga boleh terjejas. Ini terutamanya berlaku pada wanita yang mana terjadi gangguan pada kilang telur atau ovari.

Ini mengakibatkan wanita menjadi mandul. Selain itu, kitar haid menjadi tidak teratur. Komplikasi daripada pengambilan minuman keras juga boleh menyebabkan mereka putus haid pada usia awal.

Kadar kematian adalah lebih tinggi bagi mereka yang ketagih minuman keras. Kajian juga membuktikan kadar kematian wanita yang ketagih adalah lebih tinggi berbanding lelaki.

Punca kematian adalah akibat komplikasi organ, terutama serangan jantung, selain kerosakan organ penting seperti otak, buah pinggang dan hati. Kira-kira 25 peratus pesakit mental adalah mereka yang ketagih minuman keras.

Mereka cenderung untuk mendapat kemurungan, serangan panik atau ‘anxiety’ dan ‘skizophrenia’. Selain itu, mereka berkemungkinan mendapat masalah mental seperti bipolar dan antisosial.

Mereka yang baru berjinak-jinak untuk mengambil minuman keras hendaklah dibantu dengan sokongan kuat rakan dan ahli keluarga untuk berhenti serta-merta.

Bagi yang ketagih, bantuan dapat diberi oleh pakar psikiatri untuk mengurangkan ketagihan dalam bentuk kaunseling dan ubat. Ujian darah dan pemeriksaan organ penting secara berkala perlu dilakukan untuk mengelak komplikasi yang berkekalan.


- See more at:www.hmetro.com.my


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.