NAMA Pulau Banggi di Sabah mungkin tidak asing lagi apabila projek pembangunan berasaskan pertanian mula diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa nama pulau itu sebenarnya berasal daripada satu suku etnik minoriti iaitu penduduk asal di pulau itu, Dusun Bonggi.
Sehingga kini, tidak ramai tahu kewujudan etnik itu kerana meskipun sudah lama berada di Pulau Banggi, penempatan mereka yang jauh di pedalaman menyebabkan mereka hanya dikenali masyarakat tempatan dan sebilangan kecil penduduk Sabah.
Malah, keutuhan mereka mengekalkan beberapa cara hidup lama iaitu tinggal dalam kelompok keluarga sendiri jauh di dalam hutan menyebabkan etnik itu semakin sukar untuk didekati sekali gus menjadikan masyarakat terbabit, hanya seperti berada dalam dunia mereka sendiri.
Bilangan masyarakat etnik Dusun Bonggi yang begitu kecil, sekitar 4,000 orang langsung tidak menggambarkan sejarah sebenar kewujudan mereka yang membawa kepada nama Pulau Bonggi sebelum ditukar menjadi Pulau Banggi, lantaran mereka kini hanya kaum minoriti di situ yang dimonopoli masyarakat Ubian dan Bajau.
Bukan mudah mendekati etnik ini yang khabarnya hanya ada di Pulau Banggi. Bukan sekadar mahu menjejakkan kaki ke Pulau Banggi menjadi satu misi memenatkan, menjengah perkampungan kaum itu sendiri menjanjikan pengalaman berliku yang sukar digambarkan.
Manakan tidak, kesemua 12 perkampungan masyarakat itu di Pulau Banggi berada jauh di pedalaman yang kebanyakannya perlu melalui kawasan laluan hutan balak. Ada pula yang tiada langsung akses dengan laluan kenderaan, sekali gus memerlukan sesiapa saja berjalan kaki meredah semak belantara untuk sampai ke situ.
Ada pula perkampungan yang mustahil dilawati dengan menggunakan laluan darat. Jalan yang ada dan sesuai hanyalah menggunakan sampan atau bot meredah ombak ganas yang khabarnya boleh memakan masa hampir dua jam. Bukan sedikit pula cerita menakutkan mengenai kemalangan yang meragut nyawa di sekitar laut di situ.
Perkampungan yang ada akses laluan kenderaan darat hanyalah Limbuak Darat, Batu Layar, Mamang, Kapitangan, Kalangkaman dan Palak Darat, manakala Tembising, Sabur, Lok Agung dan Pasir Hitam hanya boleh dijejaki dengan berjalan kaki selama hampir tiga jam meredah hutan tebal, denai dan sungai.
Perjalanan ke Pangkalan Darat dan Lok Simpul pula hanya boleh dilakukan dengan menggunakan bot atau sampan yang pastinya sangat berbahaya termasuk cerita kewujudan buaya laut masin.
Itu baru satu senario kecil. Sampai ke kampung mereka, satu lagi rintangan yang menguji kecekalan sesiapa saja ialah kedudukan setiap rumah yang jauh antara satu sama lain. Dari satu rumah ke rumah lain memerlukan perjalanan meredah belukar dan denai sejauh antara 100 ke 500 meter.
Jaraknya tidaklah sejauh mana tetapi cabaran dan halangan dengan semak samun tebal dan jalan berbecak cukup menyukarkan. Lantaran itulah etnik ini tidak begitu dikenali kerana tiada sesiapapun sanggup mengunjungi mereka jika bukan atas sebab tertentu. Kehidupan mereka tak ubah seperti orang asli yang masih hidup dalam era primitif. Malah, masih ada pula yang selesa bercawat dan hidup seperti orang zaman kuno.
Malah, agak mengejutkan apabila masih ada di kalangan masyarakat Dusun Bonggi menggunakan kaedah lama untuk menyalakan api iaitu dengan menggesekkan dua batang kayu sehingga menjadi bara api. Meskipun ada pemetik api atau mancis, kaedah lama itu masih dikekalkan untuk memastikan tradisi itu dipelihara.
Bercakap mengenai ekonomi pula, meskipun masyarakat Dusun Bonggi tinggal di pulau yang kaya dengan sumber laut, mereka tidak pula menjadi nelayan dan tetap selesa berkebun di sebalik ada perkampungan di pinggir laut.
Hidup mereka tetap serasi dengan hutan. Pertanian bagi mereka pula hanya untuk makanan seharian, bukan untuk diniagakan. Jika adapun yang berniaga di tamu (pasar pagi), ia hanya untuk membolehkan mereka mendapat sedikit duit bagi membeli keperluan lain seperti beras. Malah, kaedah pertukaran barang terus diamalkan sehingga kini.
Menjurus kepada aspek keagamaan pula, majoriti masyarakat Bonggi mengamalkan kepercayaan Pagan (tiada agama) dan sebilangan kecilnya sudah menganut Islam dan Kristian. Namun, difahamkan pada awal 1970-an, Islam menjadi agama yang dianut oleh majoriti masyarakat Dusun Bonggi sebelum berlaku pertukaran agama lantaran tiada bimbingan oleh pihak tertentu mungkin disebabkan masalah lokasi.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini mengenai rumah setiap masyarakat Dusun Bonggi yang jauh antara satu sama lain, ada juga kampung yang hanya mempunyai tidak sampai 10 rumah, namun tetap mengamalkan sistem kepemimpinan tersusun dengan pelantikan ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Namun, ia dilihat tidak lebih sebagai jawatan untuk mewakili penduduk di situ dengan masyarakat luar kerana hal kebajikan masyarakat setiap kampung dilihat sukar untuk diuruskan lantaran masalah jarak setiap rumah. Malah, kehidupan sesetengah masyarakat di situ yang gemar berpindah selepas mengutip hasil tanaman menjadikan urusan pengurusan lebih sukar.
Ketua kampung Limbuak Darat, Firdaus Abdullah, berkata mengikut kepercayaan lama masyarakat Dusun Bonggi, setiap kali selesai mengutip hasil pertanian, mereka tidak boleh lagi bertani di tanah itu dan perlu berpindah.
“Meskipun tidak ramai yang mengamalkan lagi kepercayaan itu, masih ada yang meneruskannya menyebabkan masih wujud rumah dibina ala kadar kerana hanya untuk satu musim bertani,” katanya.
Pemalu, mungkin itu sifat paling tepat untuk menghuraikan peribadi masyarakat ini. Kehidupan sendirian dalam kelompok mereka sendiri jauh daripada masyarakat lain menyebabkan kebanyakan masyarakat Dusun Bonggi terutama wanita begitu pemalu dan susah untuk diajak berbual. Jika 10 patah ditanya, sepatah saja jawapan diberi.
Dalam aspek pendidikan, apa sangatlah yang boleh diharapkan daripada mereka yang jauh daripada akses pendidikan. Ini kerana, ada perkampungan yang jauh dari sekolah dan memerlukan perjalanan sehingga lebih dua jam untuk ke sekolah setiap pagi. Itu juga menyebabkan ada hampir 40 peratus kanak-kanak Dusun Bonggi dikatakan tidak bersekolah. -Bharian
bukan pemalu,tetapi mereka tidak terbiasa berkomunikasi dengan orang luar.
ReplyDeletePost a Comment
Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.