Babyface akui dilahirkan untuk buat lagu cinta

APABILA penyanyi, pencipta lagu dan penerbit album terkemuka, Kenneth Brian Edmonds, atau lebih dikenali dengan nama komersial Babyface turun ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsertnya di Dewan Pleno, Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, peluang itu tidak dilepas peminat setianya.

Hampir 3,000 peminat memenuhi setiap kerusi yang tersedia dalam dewan berkenaan, untuk menonton sendiri selebriti yang dikagumi mereka, dek populariti begitu banyak lagu ciptaannya. Tiket menyaksikan konsert berkenaan habis dijual, menjadikan persembahan penyanyi berusia 52 tahun itu antara paling hangat di pasaran. Dua jam menonton Babyface dan empat pemuziknya menghiburkan peminat, penonton tidak kering gusi dek celoteh selamba penghibur ini, selain terhibur bersama barisan lagu yang disampaikan.

Yang nyata, dia memang bijak mencuri nafas dengan menyampaikan pelbagai cerita. Sama ada kisahnya ketika kecil sebelum bergelar penyanyi, mahupun setelah berjaya bergelar artis serta komposer, Babyface tidak penat berkongsi pengalamannya.

Bukan sekadar bercerita, namun dia tahu bagaimana untuk membuatkan mereka semua percaya pada setiap butir kata yang keluar daripada mulutnya. Lihat saja bagaimana penonton ketawa terbahak-bahak apabila dia membongkar rahsia bagaimana dia berusaha untuk bertemu Michael Jackson sewaktu kumpulan Jackson 5 datang mengadakan persembahan di Indianapolis.

Menyamar sebagai guru sekolah, dia menghubungi penganjur, meminta pihak pengurusan kumpulan itu membenarkan seorang murid menemuramah penyanyi terbabit sewaktu mereka berada di bandar berkenaan.

Beberapa tahun kemudian, siapa sangka mereka bertemu lagi dalam studio rakaman, tatkala Babyface diundang Michael untuk menerbitkan lagu buatnya.

Dan, kerana menghormati penghibur terkemuka dunia yang meninggal pada usia 50 tahun pada Jun tahun lalu itu, Babyface turut menyampaikan lagu Gone Too Soon, buatnya.

"Saya tidak boleh mengadakan sebarang persembahan tanpa menyanyikan sekali lagu untuk Michael. Dia ialah penghibur paling hebat di dunia dan lelaki yang penuh dengan semangat sewaktu hayatnya masih ada," katanya yang menyampaikan kira-kira 20 lagu, secara penuh mahupun sekadar rangkaian pada persembahan berkenaan.

Sebagaimana dia bercerita mengenai Michael sebelum menyanyikan lagu penghargaan berkenaan, begitu jugalah Babyface memperkenalkan artis lain menerusi ceritanya tersendiri, sebelum dia menyanyikan lagu penyanyi terbabit. Antaranya ialah Eric Clapton (Wonderful Tonight) dan James Taylor (Fire and Rain).

Lelaki yang aktif dalam seni sejak tahun 1977 ini juga menggunakan aura yang ada padanya untuk membuatkan peminat wanita cair. Bukan hanya kerana banyaknya lagu cinta yang berjaya dihasilkan Babyface, dia sendiri mempunyai karisma yang hebat, yang berupaya menarik perhatian golongan Hawa.

"Saya rasa, saya memang dilahirkan untuk bercinta. Justeru, saya sering kali menghasilkan lagu cinta," katanya disambut hilai ketawa penonton.

Malam itu, antara lagu yang disampaikannya termasuk Crime, Cool in You, Everytime I Close My Eyes, Never Keepin’ Secret, rangkaian Soon As I, Sunshine dan Where Will You Go, Bump N’ Grind, Love Me in Special Way.

Sebagai pencipta, dia turut menyumbangkan lagu popular buat sebilangan artis termasuk Michael, Bobby Brown, TLC, Toni Braxton, Az yet, Boyz II Men, Jon B, Karyn White, Pebbles, Paula Abdul dan Sheena Easton.

Lalu, pada konsert berkenaan, dia tidak lupa menyanyikan kembali beberapa lagu terkenal ciptaannya seperti Two Occasions, Don’t Be Cruel, Every Little Step, Rock Wit Ya, Tenderoni, Can We Talk, Ready Or Not, My My My, I’ll Make Love to You dan End of the Road. Dia juga turut menyanyikan Change the World dan Whip Appeal.

Sebelum itu, penyanyi jazz tempatan, Najwa Mahiaddin muncul menghiburkan penonton menerusi beberapa lagu ciptaan sendiri termasuk You Gotto Go dan How Long Must I Wait.

Pemilihan Najwa sebagai artis pembuka tirai dikira cukup bertepatan sekali. Dia nyata mempunyai bakat cukup besar sebagai komposer dan penyanyi, sebagaimana artis antarabangsa yang muncul kemudiannya, selepas dirinya turun daripada pentas.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.