Vichai Srivaddhanaprabha, warga Thailand pemilik kelab bola sepak Leicester City (LCFC), terkorban dalam nahas helikopter di luar Stadium King Power, Leicester, England, pada Sabtu, menurut kenyataan kelab itu.

"Dengan penuh dukacita dan kesedihan yang mendalam, kami mengesahkan bahawa pengerusi kami, Vichai Srivaddhanaprahba adalah antara mereka yang terkorban pada Sabtu setelah helikopter yang dinaiki beliau bersama empat yang lain terhempas di luar Stadium King Power. Kelima-lima mereka terkorban dalam insiden itu,” jelas LCFC.

Lima orang, termasuk Vichai, berada di dalam pesawat berkenaan sebelum ia terhempas di sebuah kawasan letak kereta berhampiran stadium itu sejurus selepas 8.30 malam dan terus terbakar.

Polis Leicestershire, menerusi akaun Twitter pada Isnin berkata, mangsa yang dipercayai berada di dalam helikopter itu ialah Vichai, dua orang kakitangannya iaitu Nusara Suknamai dan Kaveporn Punpare, juruterbang Eric Swaffer serta seorang penumpang, Izabela Roza Lechowicz.

Mengenai Vichai, kenyataan itu menyebut bahawa dunia kehilangan seorang tokoh yang hebat, baik hati dan pemurah.

"Leicester adalah sebuah keluarga di bawah kepimpinan beliau. Sebagai sebuah keluarga, kami meratapi pemergian beliau dan akan terus berusaha mencapai wawasan bagi kelab ini yang kini menjadi legasi beliau,” jelas kenyatan itu.

Vichai, 60, membeli kelab bola sepak itu pada 2010 dan berjaya menggilap kejayaannya. Daripada sebuah kelab kecil di bawah pengurus ketika itu, Claudio Ranieri, mereka mengatasi segala rintangan untuk muncul sebagai juara Liga Premier dua tahun lepas, yang disifatkan oleh sebahagian besar pakar dalam sukan bola sepak sebagai ‘dongeng bola sepak’.

Kelab itu turut mara ke suku akhir Liga Juara-juara namun disingkirkan oleh gergasi bola sepak Sepanyol, Atletico Madrid.

Hartawan Thai itu disenaraikan sebagai orang kelima paling kaya di negara berkenaan oleh Forbes pada 2018 dengan harta bernilai US$4.9 bilion, dan merupakan tokoh utama di sebalik King Power International, pusat beli-belah bebas cukai terbesar di Thailand.

Diasaskan pada 1989, syarikat itu mengendalikan kedai bebas cukai di lapangan terbang di Thailand dan pusat beli-belah di Bangkok, Phuket serta Pattaya.

Selain kedai bebas cukai, syarikat beliau turut memiliki 39 peratus ekuiti dalam syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Thailand, bernilai US$225 juta.

Dalam urusan perniagaan terkininya, Vichai, yang berkahwin dengan Aimon, dan mempunyai empat orang anak, Voramas, Apichet, Arunroong dan Aiyawatt, membeli menara pelbagai kegunaan tertinggi di Thailand, Mahanakorn, bernilai 14 bilion Baht (RM1.84 bilion).

Keluarga itu dikuniakan nama keluarga Srivaddhanaprabha, yang bermaksud ‘cahaya progresif gemilang’ oleh mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada 2012.

- Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.