PRU14 | Sebarang tindakan seperti amaran atau 'buang' tidak akan dapat mengubah mereka yang sudah membuat keputusan apatah lagi tinggal beberapa hari lagi menjelang PRU ke-14, kata bekas menteri Syed Hamid Albar.



"Sekarang untuk bagi amaran ke, buang ke...(mereka) tidak peduli atau takut. Mereka sudah membuat ketetapan...Kini soal hati dan akal.

"Tiada penjara yang dapat menyekat keputusan," katanya di Twitter hari ini.

Syed Hamid tidak merujuk mana-mana pihak secara jelas tetapi ia dibuat sehari selepas tiga tokoh Umno dikenakan tindakan disiplin kerana dilihat menentang parti itu.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata parti itu memutuskan untuk membuang Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz, serta menyiasat Tan Sri Rais Yatim.

Selain Daim, Rafidah, Rais dan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, Syed Hamid boleh dianggap veteran Umno terbaru yang dilihat bertentangan dengan kepimpinan semasa parti itu.

Selain kenyataan di Twitter, beliau juga mengeluarkan surat terbuka hari ini menggesa rakyat Malaysia untuk mengundi mereka yang "bertintegriti, dihormati dan telus" dan "menumpaskan penipuan, pembohongan dan pemalsuan".

"Sebagai pengundi, kita tidak patut membantu mereka yang sudah sedia kuat...Pada 9 Mei nanti, marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia, mengundi dengan hati yang ikhlas untuk perubahan yang positif," katanya dalam surat itu.

Kenyataannya di Twitter turut menggesa perkara sama iaitu agar rakyat Malaysia akan membuat keputusan pada 9 Mei ini untuk masa depan di mana setiap kaum dapat bersatu.

"Pilih pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan berakauntabiliti. Undi dengan ikhlas untuk perubahan," katanya lagi.

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.