LAPORAN KHAS | Gabungan parti politik di peringkat nasional menawarkan alternatif yang lebih stabil berbanding dengan landskap politik Sabah yang berubah-ubah, terdiri daripada parti-parti politik yang berseteru dan kesetiaan yang sering beralih.

Pada tahun 2010, Mastupang Somoi cukup teruja apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sebuah projek ternakan kolam udang komersil akan dibina di kampung halamannya di Pitas, wilayah utara Sabah. Sepanjang hidupnya Mastupang Somoi hanya menjadi penyokong tegar BN.

Kolam udang bernilai RM1.23 bilion itu dikatakan bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan dengan membawa industri, pekerjaan dan bekalan air bersih mengalir serta harapan untuk sebuah kehidupan yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, selepas empat tahun kolam udang itu mula beroperasi, Mastupang (gambar) menjadi salah seorang pemimpin yang membantah projek itu.



Baru-baru ini, wartawan Malaysiakini yang mengadakan lawatan ke Pitas berkesempatan menaiki sampan yang didayung, melihat ke beberapa kawasan paya bakau di sepanjang aliran muara Sungai Telaga dan anak-anak sungainya bagi menyaksikan betapa besarnya kawasan hutan bakau yang telah musnah atau mati terhapus akibat projek kolam udang tersebut.

Penduduk kampung mendakwa bahawa aliran air masin masuk ke muara telah sengaja dialihkan sementara lebih daripada 2,000 ekar hutan terdiri daripada beribu-ribu pokok bakau ditebang bagi memberi laluan kepada ladang itu.

Sejak zaman nenek-moyangnya lagi, Mastupang dan penduduk kampung menjadikan hutan paya bakau ini sumber rezeki untuk mendapatkan ikan, ketam dan spesis kerang tempatan yang dipanggil lokan. Bagaimanapun, sumber rezeki ini semakin sukar dicari pada tahun-tahun kebelakangan ini.



"Apabila pokok bakau ditebang, sumber pendapatan kita - ikan, udang dan ketam - semuanya hilang. Apabila anda mempunyai enam buah kampung untuk mencari rezeki di kawasan yang sama, lebih sukar untuk mendapat kutipan hasilnya.

"Dulu, setiap kali untuk seorang boleh dapat 200 kilogram lokan, tetapi sekarang nak tangkap untuk makan pun tak cukup.

"Sekarang, bila kita nak makan lokan, kita perlu membeli guna wang. Kami biasa tangkap secara percuma dan jual untuk pendapatan yang kecil," kata Mastupang.

Hutan bakau itu juga menjadi tapak 'keramat' suku Tembuono, salah satu suku orang asal Sabah, juga Mastupang. Sebahagian daripada 'tempat keramat' itu telah dimusnahkan.

Sementara itu, janji 3,000 peluang pekerjaan yang diikrarkan kepada mereka oleh projek ternakan udang itu masih belum termakbul.



Mastupang menganggarkan paling ramai hanya sekitar 30 orang dari kampungnya, di Kampung Sungai Eloi yang bekerja di kolam udang itu. Beliau tidak pasti berapa ramai lagi dari penduduk kampung lain yang bekerja di situ.

Kecewa dengan kehilangan mata pencarian dan peluang pekerjaan, anak lelakinya Martin mengikut jejak sekian ramai anak muda yang berhijrah meninggalkan kampung bagi mencari pekerjaan di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur.

Satu lagi janji yang belum ditepati adalah bekalan air bersih ke kawasan itu.

"Dua tahun yang lalu, seseorang dari projek kolam udang itu berkata kami akan membawa masuk bekalan air bersih tetapi sehingga kini tiada apa yang dilakukan untuk memasang paip ke kampung kami.

"Air hujan adalah satu-satunya sumber air kita. Sekiranya berlaku kemarau maka kita terpaksa membeli air daripada jabatan air negeri," kata adik perempuan Mastupang, Olon Somoi kepada Malaysiakini ketika ditemuramah di rumahnya.

Mastupang pertama kali menentang projek kolam udang itu pada tahun 2013, ketika projek itu bermula dan menebang beratus-ratus ekar hutan bakau tanpa kebenaran daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.

Dibantu segelintir anggota keluarganya, termasuk Olon, mereka meletakkan papan tanda di sepanjang tebing sungai untuk menegaskan kawasan itu milik masyarakat.

Walaupun mereka bergelut untuk mendapatkan lebih banyak sokongan pada mulanya, namun masyarakat dari lima kampung di sekitar kawasan itu kemudiannya menyertai gerakan mereka selepas mereka sedar alam sekitar dan mata pencarian mereka menjadi pertaruhan projek udang berkenaan.



Namun begitu, pada tahun 2016, DUN Sabah telah meluluskan lagi sebanyak 1,000 hektar kawasan hutan bakau untuk dijadikan projek kolam udang, kali ini oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Mastupang berkata bahawa 1,000 ekar hutan bakau itu adalah kawasan masyarakat penduduk kampung mencari rezeki.

Beliau dan kumpulannya bertekad membantah projek SEDIA itu.

"Kami ada bidalan,'kalau takut, jangan berani-berani; kalau berani, jangan takut-takut.

"Kami berjuang bagi generasi akan datang, untuk anak cucu kami," katanya.



Syarikat pengendali kolam udang tersebut ialah Sunlight Inno Seafood Sdn Bhd, projek usaha sama antara pengeluar makanan laut beku, Sunlight Seafood dan Inno Resource Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah yang dimiliki oleh kerajaan negeri Sabah.

Sunlight Inno sebelum ini mendakwa mengambil lebih daripada seratus pekerja penduduk tempatan dan menafikan syarikat itu tanggungjawab untuk menyediakan bekalan air bersih kepada masyarakat di situ.

Ia juga menyangkal dakwaan syarikat itu melanggar undang-undang dengan bertindak secara tidak sah dalam menebang hutan bakau. Syarikat itu memberi alasan projek kolam udang itu terletak di kawasan yang telah diwartakan kerajaan terlebih dahulu untuk aktiviti perikanan pada tahun 1983.

Sunlight Inno menolak untuk mengulas laporan ini.

DUN Pitas ialah salah satu dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah parlimen Kudat, yang diwujudkan pada tahun 2004. BN telah memenangi Kudat dengan majoriti besar pada setiap pilihan raya.

Laporan Malaysiakini di Pitas, Sabah dibantu Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (Joas).

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.