Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Darell Leiking mengesahkan bahawa presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-15 yang baharu malam ini.

Leiking berkata mereka dimaklumkan oleh pegawai istana supaya bersiap sedia bagi majlis yang akan berlangsung di Istana Negeri pada 9 malam.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), parti WARISAN pimpinan Mohd Shafie memenangi 21 kerusi manakala DAP dan PKR masing-masing memenangi enam dan dua kerusi.

Walau bagaimanapun, pada Khamis, 10 Mei lalu, Pengerusi BN negeri Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 untuk penggal keempat.

Beliau mendakwa mempunyai majoriti mudah iaitu 31 kerusi selepas bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mempunyai 2 kerusi.

Gabungan WARISAN, DAP serta PKR ketika  itu hanya mempunyai 29 kerusi, kurang dua kerusi untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Namun, tindakan enam ADUN daripada Barisan Nasional iaitu empat daripada Umno dan Upko (dua) menyertai blok pembangkang pimpinan WARISAN semalam mencukupi untuk membentuk kerajaan Sabah dengan majoriti mudah.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau belum dimaklumkan secara rasmi akan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baharu, di Istana Negeri, malam ini.

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita di luar pekarangan kediamannya hari ini berkata pihaknya masih menunggu makluman daripada Istana Negeri.

"Saya tidak tahu, tunggu makluman istana," katanya.

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.