PRU14 |  “Aku tidak bermaksud kecuali untuk mendatangkan kebaikan selagi aku mampu, dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan Allah. Hanya kepada-Nya akan aku berserah dan akan aku kembali”. (Hud : ayat 88)

Tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin menghampiri kita. Saban hari, kita mengikuti kempen dan ceramah daripada setiap calon dan parti bagi meraih undi rakyat Malaysia.

Dari jauh, saya masih mengikuti rapat setiap perkembangan politik Malaysia melalui media sosial dan portal berita dalam talian. Jika berkelapangan, saya sering berbincang dengan rakan-rakan mengenai pilihan terbaik yang mampu kita lakukan untuk PRU kali ini.

Acap kali juga saya bertemu pensyarah-pensyarah saya di sini dn bersembang mengenai politik yang Islam mahukan secara umum.

Perubahan adalah suatu kemestian. Ini perkara paling penting buat masa ini. Walau apa pun keadaan dalam politik tanah air kita sekarang, kita harus benar-benar sedar dan faham bahawa yang paling penting buat masa ini ialah: kerajaan mesti diubah.

Kita tidak seharusnya terus membenarkan sebuah parti memerintah selama lebih 60 tahun. Perkara ini jika dibiarkan akan menyebabkan pemerintah akan terus selesa memerintah, seterusnya bersenang-lenang melakukan salah guna kuasa dan sebagainya kerana yakinan apa jua yang mereka lakukan, kuasa tetap diberi rakyat.

PRU ke-14 yang disebut sebagai ibu segala pilihan raya ini merupakan peluang terbaik buat rakyat Malaysia menukar kerajaan setelah sekian lama kita melihat parti pemerintah yang sama mentadbir tanah air.

Kekal merungut masalah

Evolusi dalam politik sangatlah penting. Rakyat di negara-negara maju seperti United Kingdom (UK) dan AS sering memilih untuk menukar kerajaan mereka hampir setiap kali atau setiap dua kali pilihan raya. Di AS, kita melihat Parti Demokrat dan Parti Republikan sering bertukar ganti diberi mandat untuk memerintah.

Begitu juga di UK, Parti Buruh dan Konservatif sering bergilir-gilir memegang tampuk pemerintahan. Itulah politik di negara maju. Politik sebeginilah harus dijadikan kelaziman di Malaysia.

Maka, saya fikir sudah tiba masanya untuk kita lihat BN berevolusi. Maksudnya, berevolusi menjadi pembangkang pula. Di sebalik segala kerosakan yang telah BN lakukan, ini sememangnya detik terbaik buat kita semua merehatkan mereka sementara.

Kepada pendokong kuat BN, saya fikir anda semua harus berani untuk melihat parti anda - khususnya Umno untuk berevolusi. Hanya dengan cara ini sajalah kita akan dapat melihat BN yang lebih telus dan adil apabila diberi mandat sekali lagi pada masa depan.

Pastikan setiap parti dapat merasa menjadi pembangkang. Perkara ini sangat baik untuk rakyat. Kita tidak sepatutnya memberi peluang sesebuah parti terus selesa memerintah untuk berpuluh-puluh tahun.

Jika dibiarkan, kita akan kekal mendengar tentang rungutan isu rasuah, ketirisan dan penyelewengan dilakukan oleh kepimpinan negara.

Dahulu, kita sering dengar mengenai istilah "winable candidate". Dalam keadaan sekarang, kita harus lihat gabungan parti mana pula yang terbaik untuk menumpaskan BN.

PAS - walaupun berada dalam Gagasan Sejahtera - tetap dilihat bersendirian kerana parti komponen lain dalam gabungan itu tidaklah mempunyai ramai pendukung.

PAS ulangi rekod

Situasi menjadi lebih janggal apabila dalam gabungan sekecil itu pun masih berlaku pertembungan sesama mereka iaitu seperti yang dilihat antara BERJASA dan PAS di Batu Kurau dan Cameron Highlands.

Jika difikir secara logik PAS sememangnya tidak akan mampu menang lebih daripada 10 kerusi parlimen jika bersendirian. Perkara ini jelas apabila dilihat kembali sejarah lampau. PAS hanya mampu menang antara satu hingga 10 kerusi sahaja apabila bersendirian.

Keputusan lebih baik dapat dicapai oleh PAS apabila mereka bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dengan memenangi hampir 30 kerusi parlimen.

Cukup banyak sekali badan penganalisis politik turut menjangkakan PAS akan hanya berfungsi sebagai pemecah undi kepada pembangkang, seterusnya memenangkan BN.

Inilah perkara yang sangat merisaukan. Bahkan, penganalisis politik Prof Datuk Dr Agus Yusoff dengan jelas menyebut PAS mungkin akan mengulangi rekodnya pada 1978 iaitu hanya mampu memenangi tiga kerusi parlimen sahaja.

Dalam suasana negara seperti Malaysia yang mempunyai hampir 40 peratus rakyat bukan Islam, PAS sememangnya bukan parti yang mampu memenangi pilihan raya negara ini. Malah, peratusan masyarakat bukan Islam yang akan mengundi PAS mungkin hanya mencecah kurang daripada 5 peratus saja.

Pemecah undi yang saya sebutkan di atas sudah terbukti dalam keputusan kerusi DUN Kota Damansara pada PRU ke-13 lalu apabila PAS meletakkan calon di kerusi PKR.

Jika PAS tidak meletakkan calon, kemungkinan besar PKR akan menang di kerusi tersebut. PKR mendapat undi sebanyak 14,860 manakala PAS hanya mendapat 7,312 undi.

BN menang di kerusi itu dengan mendapat 16,387 undi. Jelas dapat dilihat di sini bahawa PAS berperanan besar memenangkan BN.

Jika undi kepada PAS terus menjadi pemecah buat pembangkang, BN akan kekal memerintah dengan bantuan parti berkenaan.

Bukan lagi kerisauan

Keadaan menjadi lebih janggal apabila kita melihat Presiden BN Datuk Seri Najib Razak sangat jarang mengkritik PAS seperti pernah dilakukannya dahulu. Pada kebanyakan masa, parti yang dikritik Najib ialah Pakatan Harapan (HARAPAN).

Malah, beliau sering memuji pula pendekatan dan pimpinan PAS. Bukankah almarhum murabbi kita semua, Datuk Fadzil Noor pernah menyebut, pasti ada sesuatu yang tidak kena apabila musuh mula memuji kita.

HARAPAN saya lihat lebih serius dan lebih rasional untuk menewaskan BN. Bak kata Nik Omar Nik Abdul Aziz yang memetik kata-kata ayahanda beliau, Allahyarjam Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mana-mana parti yang mahu menang PRU harus berada dalam gabungan yang kuat.

Selain berada dalam gabungan pembangkang yang kuat, HARAPAN juga mempunyai pimpinan yang jauh lebih berpengalaman dan mempunyai rekod lebih baik berbanding PAS.

HARAPAN mempunyai seorang bekas perdana menteri selama 22 tahun, dua orang bekas timbalan perdana menteri dan lebih tujuh bekas menteri kanan, selain memiliki pengalaman mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.

Tidak cukup dengan itu ramai lagi bekas pegawai kanan kerajaan bersama-sama HARAPAN.

Dari sudut Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP yang dikatakan beban kepada HARAPAN, saya berpendapat itu tidak sepatutnya menjadi suatu kerisauan.

Memang dulu Dr Mahathir dianggap diktator, terpalit dengan salah guna kuasa dan sebagainya, itu disebabkan menteri dalam kabinetnya tidak mempunyai integriti yang baik.

Namun, kali ini Dr Mahathir bakal memerintah Malaysia dengan timbalannya adalah ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama tokoh lain sebagai menteri seperti Mohamad Sabu, Khalid Samad, Husam Musa, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Rafizi Ramli dan ramai lagi.

Bertanya tentang Islam

Adakah anda rasa nama-nama itu bakal mendiamkan diri sahaja apabila ada berlaku penyelewengan?

DAP pula sering ditohmah sebagai anti-Islam. Sehingga ke hari ini, saya tidak menemui sebarang fakta untuk membuktikan tohmahan tersebut.

Tetapi dalam keadaan itulah isu ini dimainkan saban hari. Begitulah politik kita di Malaysia. Ia berkisar kepada hal-hal perkauman yang tidak ada titik noktahnya.

Allah menciptakan kita dengan berbagai-bagai agama dengan hikmah yang baik untuk saling berkenalan dan bermanfaat, malangnya sebahagian daripada kita memilihnya untuk bercakaran.

Cukuplah dengan apa yang sudah diterima umat Islam di Pulau Pinang sebagai bukti. Pembangunan demi pembangunan, sumbangan demi sumbangan diberikan kepada umat Islam di Pulau Pinang sama ada kepada sekolah-sekolah agama atau kepada institusi-institusi agama negeri. Ia menjadi bukti bahawa DAP bukan anti-Islam.

Bahkan, mufti Pulau Pinang pernah beberapa kali menyebut betapa institusi fatwa dan agama di negeri itu langsung tidak diganggu oleh kerajaan negeri . Ceramah-ceramah agama di negeri itu juga berlangsung dengan cukup rancak dan tanpa sedikit pun halangan.

Lebih menarik, buat pengetahuan semua, Lim Kit Siang dan beberapa pimpinan DAP pernah ke Jordan dan Mesir bertemu dengan ulama-ulama di sini untuk bertanya tentang Islam.

Mereka cuba memahami Islam dengan sebaiknya. Semua ini saya bawa sebagai bukti bahawa mereka bukan anti-Islam. Mungkin, sebahagian kita yang mentohmah DAP sebagai anti-Islam sebenarnya adalah anti-Cina.

Adakah kita bersikap membenci apa yang telah Allah ciptakan? Na'uzubillah. Bukankah Tok Guru Nik Aziz pernah berpesan, orang Cina bukan menjadi Cina kerana mereka meminta, tapi Allah yang telah mencipta mereka sebegitu.

Buat umat Islam di seluruh Malaysia, percayalah HARAPAN juga membawa Islam. Sedarlah bahawa isu kemiskinan adalah berkaitan Islam, isu ekonomi juga tentang Islam, isu pendidikan juga adalah Islam. Bukankah Islam itu sifatnya syumul melangkaui setiap perkara dalam kehidupan kita?

Insya-Allah, apabila ekonomi negara baik, kemiskinan sudah tiada dan pendidikan rakyat terjaga, kita akan melihat Islam yang lebih bernilai di tanah air ini.

Sememangnya, inilah praktikaliti politik Islam yang sebenar. Pemeliharaan kehidupan masyarakat dan akal didahulukan sebelum perkara-perkara lain seperti agama, harta dan keturunan.

Politik Islam ialah politik yang menjaga setiap maslahah rakyat sebelum perkara-perkara lain seperti hukuman Islam dan sebagainya ditegakkan.

Jika mahu bercakap mengenai ketelusan dan integriti dalam mentadbir, kita melihat hampir 100 orang pemimpin HARAPAN telah isytiharkan harta mereka. Ia adalah amalan yang jauh meninggalkan pimpinan parti-parti lain dari segi ketelusan.

Saya cukup yakin, jika mahu berbicara mengenai qowiyyul aamin, HARAPAN adalah parti yang paling dekat dengannya.

Cukuplah saya jelaskan mengenai dua kriteria paling penting untuk dilihat sebelum kita mengundi esok.

Pembangkang yang boleh menang yang logik dan rasional ialah HARAPAN. Mereka datang bersama kemampuan dan ketelusan untuk mentadbir Malaysia berbanding PAS.

Percayalah, kita semua inginkan kebaikan. Cara kita mungkin berlainan namun tujuan kita sama iaitu demi agama, bangsa dan tanah air.

Buat pengundi BN dan PAS, ayuhlah, kita semua mengundi HARAPAN kali ini. Kita harus segera menghentikan kerosakan besar yang sedang berlaku.

Hanya dengan mengundi HARAPAN sahaja kita mampu mendapat kerajaan yang baru. Ya, mengundi HARAPAN bukanlah pilihan yang sempurna namun itulah hakikat politik di negara kita, tiada yang sempurna.

Buat PAS, mungkin ia akan jadi pilihan yang baik untuk PRU ke-15 nanti. Moga Allah memenangkan HARAPAN. Insya-Allah, ada sinar harapan buat Malaysia kali ini.


Penulis :
MIRZAN MAJID ialah mahasiswa tahun tiga jurusan fiqh wa usuluh, Universiti Mu’tah, Jordan. - Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.