Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang membidas pengumuman kerajaan sekarang bahawa hutang negara sekarang berjumlah RM1 trilion.

Najib dilaporkan berkata kenyataan itu "hanya akan menimbulkan keraguan terhadap pasaran kewangan, mengejutkan agensi penarafan kredit dan menjejaskan keyakinan pelabur dalam institusi negara seperti Bank Negara Malaysia".

“Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan liabiliti bernilai RM1 trilion pada 31 Dis, 2017, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Pertamanya, hutang kerajaan persekutuan adalah RM686.8 bilion iaitu 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Selain itu, kerajaan juga perlu membayar jaminan kerajaan kepada pelbagai entiti yang gagal untuk membayar hutangnya. Jumlah ini adalah sebanyak RM199.1 bilion (14.6 peratus daripada KDNK).

"Antara jaminan itu melibatkan entiti seperti Danainfra Nasional Bhd. (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd. (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd. (RM26.6 bilion), Malaysia Rail-link Sdn. Bhd. (RM14.5 bilion) serta dianggarkan RM38 bilion untuk 1MDB," katanya.



Menurut Lim, selain jumlah berkenaan, kerajaan juga dikehendaki untuk menjelaskan pelbagai pajakan untuk pelbagai projek awam swasta seperti pembinaan sekolah, balai polis, jalan raya serta lain-lain yang berjumlah RM201.4 bilion (14.9 peratus daripada KDNK).

Katanya, meskipun tampuk kepemimpinan kerajaan persekutuan sudah berubah, namun tanggungjawab dan komitmen terhadap kewangan negara adalah masih sama.

"Dalam tempoh jangka pendek, keputusan untuk memberi kebenaran mungkin menimbulkan ketidak selesaan kepada (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak.

"Bagaimanapun, kita percaya bahawa dalam tempoh sederhana, dengan mengakui situasi hutang hari ini, kerajaan dapat mengambil langkah konkrit untuk mengawal selia dan mengukuhkan kedudukan kewangan," katanya.

Menurut Lim, kerajaan baru Pakatan Harapan akan melaksanakan pentadbiran berdasarkan prinsip-prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT).

“Kami mahu menubuhkan garis dasar sebenar mengenai keadaan kewangan, mendiagnosis masalah dan kemudian mencadangkan semua tindakan yang perlu diambil,” katanya.

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.