PRU14 | Naib Presiden PKR Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu pada PRU ini selepas pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Pegawai pengurus pilihan raya Anwar Mohd Zain membuat keputusan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac lalu yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis, walaupun mengurangkan hukuman denda kepada RM2,000.

Keputusan Anwar bertentangan dengan pegawai pengurus pilihan raya pada PRU 2013 yang membenarkan Tian Chua bertanding walaupun ketika itu beliau disabitkan bersalah untuk satu kes mahkamah lain dan juga dikenakan denda RM2,000.

Tian Chua mengecam keputusan itu dan mendakwa ia sebagai taktik kotor untuk menghalang kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Ini tidak adil kerana pada PRU lalu, mahkamah menetapkan denda RM2,000 tidak menyebabkan hilang kelayakan (untuk bertanding pilihan raya).

"Tetapi mereka (SPR) mendakwa ketetapan itu tidak terpakai pada pilihan raya kali ini," katanya.

Tian Chua berkata akan mencabar keputusan itu berdasarkan undang-undang.

Dengan pembatalan itu, kerusi Parlimen Batu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Dominic Lau (Gerakan), Azhar Yahya (PAS), dan dua calon bebas iaitu P Prabakaran dan SP Raja.

Pada 18 Jun 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengurangkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 yang dijatuhkan kepada denda RM2,000 sahaja,atas sabitan bersalah mencederakan anggota polis dalam satu perhimpunan.

Artikel 48(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang hilang kelayakan sebagai anggota parlimen atau untuk bertanding jika dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000.

Ketika itu, Ghazali menjelaskan kekaburan peruntukan, sama ada ia bermaksud kelayakan terbatal jika seseorang itu didenda RM2,000, atau lebih daripada RM2,000.


Hakim ketika itu memutuskan kelayakan Tian Chua tidak terbatal maka pilihan raya kecil tidak perlu dilakukan.

Beliau kemudian dibenarkan bertanding pada PRU 2013 dan mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Batu dengan majoriti 13,284 undi.

Dalam dua sabitan bersalah iaitu pada 2010 dan Mac tahun ini, Dewan Rakyat juga tidak membatalkan kelayakannya sebagai anggota parlimen.-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.