KUALA LUMPUR - Pas menghapuskan baiah taklik, namun mengekalkan lafaz baiah umum yang telah diselaraskan untuk semua calon mereka pada PRU14 ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa Pas sepakat menggugurkan sumpah taklik cerai talak tiga bagi calonnya di Kelantan seperti sebelum ini bagi memastikan tiada lagi peristiwa calon lompat parti.

“Baiah taklik (cerai isteri) sudah tak ada lagi pada PRU14 ini, kita (Pas) selaraskan sama untuk semua negeri," tegasnya pada sidang media di ibu pejabat Pas, hari ini.

Takiyuddin memaklumkan bahawa Pas menyediakan akuan bersumpah kepada semua calonnya yang akan dilafazkan secara standard.

“Lafaz baiah ini terbahagi kepada beberapa kategori iaitu untuk calon Pas, calon Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang bukan Islam dalam Pas, bagi Gagasan Sejahtera ada Islam dan bukan Islam, ada akuan bersumpah tersendiri.

“Semua akuan bersumpah akan dilafazkan dan disaksikan oleh Pesuruhjaya Pas negeri atau pimpinan tertinggi Pas sebelum pengisytiharan malam esok kena buat akuan bersumpah ini,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin mencabar individu yang membangkitkan usul meminda perlembagaan Pas, bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti kepada badan penasihat tampil mempersoalkan semula perkara tersebut.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang maklumkan bahawa ada pihak yang cuba pinda perlembagaan, kenyataan itu benar, Presiden tidak berbohong.

“Saya mengesahkan usul pindaan ini adalah benar walaupun dinafikan beberapa pihak. Sebelum ini, kita (Pas) pernah tubuhkan jawatankuasa memperkemaskan perlembagaan,” katanya.

Beliau sekali lagi mencabar pihak yang mendakwa itu untuk menyemak fakta sebelum melemparkan tuduhan kerana Pas mempunyai bukti pindaan itu pernah diusul untuk dipinda.-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.