IPOH - Raja Bomoh atau nama sebenarnya Datuk Ibrahim Mat Zin, 68, mengumumkan hasratnya untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk sebagai calon Bebas pada PRU14 ini.

Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia itu akan bertanding di tempat kelahirannya bagi menunaikan hasrat penyokongnya 10 tahun lalu untuk menjadi wakil rakyat sekaligus membela nasib rakyat.

Menurutnya, sejumlah RM500 juta akan dibelanjakan di kawasan yang bakal ditandinginya nanti.

“Sekiranya saya menang, saya tidak mahu gaji ahli parlimen sebaliknya disedekahkan kepada institusi atau persatuan bagi setiap kaum dan ia berterusan selama sepenggal. Saya akan menubuhkan pusat tahfiz di daerah itu.

“Selain itu, sumbangan sejumlah RM120 diberikan kepada anak-anak dari keluarga miskin. Bagi ibu tunggal pula akan menerima RM800 manakala golongan OKU pula menerima sumbangan RM1,500 setiap bulan.

“Kita turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM4,000 kepada pasangan yang bakal membina rumah tangga jika memenangi kerusi ini,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, seramai 27 ahlinya akan bertanding di seluruh kawasan di negara ini termasuk timbalannya, Leman Kanaullah, 55, yang akan bertanding di kerusi Dun Pangkor.

Katanya, beliau menafikan tindakannya untuk bertanding di kerusi panas itu dibiayai oleh pihak tertentu.

“Saya ikhlas membantu semua kaum di seluruh negara dan kita meletakkan 27 calon termasuk dua di negeri ini sebagai calon bebas dengan lambang yang berbeza. Kami mempunyai kira-kira 5 juta pengikut persatuan.

“Kami memerlukan sokongan penuh rakyat termasuk di Dun Pangkor supaya dapat memulihkan kembali ekonomi dan kesenangan rakyat semua.

Jelasnya, 14 kerusi parlimen akan diletakkan calon-calon bebas dan selebihnya di kerusi Dun di seluruh negeri.

“Calon bebas ini akan bertanding di 14 kerusi parlimen termasuk di Pahang. Kawasan Pekan pun ada, Insya-ALLAH, kita akan meletakkan seorang calon di kawasan itu,” katanya.

Pada April tahun lalu, Ibrahim mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas pertuduhan menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Ibrahim mula meningkat popular selepas melakukan ritual mencari dan mengesan misteri kehilangan kapal terbang MH370 pada 2014.-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.