PRU14 l Kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan di Sabah bakal menyaksikan pertarungan sailang (habis-habisan) keluarga Kitingan di mana abang, adik dan adik ipar akan berentap bagi merebut kerusi itu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan dicabar oleh adiknya Datuk Dr Jeffery Kitingan yang merupakan presiden parti Star dan saingan akan bertambah sengit apabila parti WARISAN Sabah mencalonkan adik ipar kedua-dua mereka, Justin Alip, bagi kerusi DUN itu.

Sebelum ini, kedua-dua pemimpin suku kaum Kadazandusun itu masing-masing diumumkan sebagai calon BN dan Star bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan pada PRU-14.

Jeffrey turut bertanding kerusi Parlimen Keningau yang sebelum ini disandang abangnya Pairin.

Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula hari ini mengumumkan Justin Alip sebagai calon Warisan untuk DUN pedalaman itu.

Pairin, 77, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merupakan ADUN Tambunan sejak 1976 dan pada pilihan raya kali ini, beliau melepaskan kerusi parlimen Keningau, yang disandangnya sejak 1985, kepada Datuk Daniel Kinsik.

Sebelum ini, terdapat ura-ura Pairin tidak akan mempertahankan kedudukan beliau di Tambunan dan Keningau selepas membayangkan akan bersara selepas PRU-14.

"Saya bersetuju untuk bertanding, bukan sahaja sebagai memenuhi rayuan tetapi percaya saya masih mampu untuk menyumbang kepada rakyat dan negara," kata Pairin selepas melancarkan manifesto tambahan PBS-BN di sini semalam.

Pada pilihan raya yang lepas, Pairin yang bertanding atas tiket BN menang kerusi DUN Tambunan dengan majoriti 2,079 undi dan mempertahankan kerusi Parlimen Keningau, menewaskan Jeffrey dengan majoriti 3,918 undi. Jeffrey yang menggunakan lambang Star pula memenangi DUN Bingkor dengan majoriti 456 undi.

Selepas Jeffrey tewas dalam pusingan pertama pertembungan dua adik beradik itu di kerusi Parlimen Keningau dalam PRU-13, kedua-dua tokoh ini akan beradu nasib dalam pusingan kedua di gelanggang politik DUN Tambunan pula

Tambunan yang terletak di kaki banjaran Crocker pernah mengukir sejarah sebagai medan pertempuran sengit antara pahlawan tempatan Mat Salleh dan tentera British pada penghujung tahun 1890an.

Kehebatan pertempuran itu menarik perhatian ramai pakar sejarah, termasuk dari luar negara untuk mendalami kisah sebenar serangan tentera British terhadap kubu Mat Salleh di Tambunan.

Penamaan calon PRU-14 ditetapkan pada 28 April, manakala hari pengundian pada 9 Mei depan. -Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.