KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (PAN) Sabah sedia berdepan dan menentang Parti Warisan Sabah (WARISAN) jika tiada kerjasama dicapai berhubung soal pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Pengerusinya, Hamzah Abdullah, berkata parti berkenaan tidak menghadapi masalah untuk berunding tetapi WARISAN dilihat tidak berminat untuk bekerjasama.

"WARISAN yang sudah menutup pintu (untuk perundingan) kepada kami, bukan sebaliknya," katanya, ketika dihubungi hari ini.

Hamzah berkata, PAN Sabah bersedia menentang calon WARISAN jika parti pembangkang tempatan itu kekal untuk tidak memberi peluang kepada mereka.

Sabtu lalu, Hamzah mengumumkan PAN Sabah akan bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Kalabakan dan Batu Sapi serta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Merotai, Bugaya dan Tanjung Aru pada PRU-14, 9 Mei ini.

Beliau berkata, pemimpin Pusat dan negeri pakatan pembangkang sudah bersetuju dengan pengagihan kerusi yang dibincangkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, WARISAN tidak bersemuka dengan PAN Sabah apabila Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini dilaporkan berkata parti dari Semenanjung itu tidak seharusnya bertanding mana-mana kerusi di negeri ini.

Difahamkan, PAN Sabah akan mengadakan sidang media esok berhubung keputusan parti itu untuk tetap bertanding pada PRU-14. -Bharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.