Barisan Nasional mendapat kelebihan awal satu kerusi  pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.

Kemenangan itu diisytiharkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau.

Ini berikutan calon yang dinamakan PKR, S Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa bersama pas calon seperti yang disyaratkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.

Selain Streram, kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak dapat memasuki perkarangan dewan itu kerana tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR.

Pengumuman itu menyaksikan Mohamad, yang juga pengerusi BN negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRU14, 9 Mei ini, buat penggal keempat sejak 2004.

Pada PRU13 lepas, Mohamad yang juga penyandang kerusi itu menang dengan majoriti 4,613 undi menewaskan Aisah Lamsah daripada PKR.

Terdahulu, suasana agak tegang apabila Streram dan penyokongnya membantah sekatan polis yang tidak membenarkan beliau memasuki pusat penamaan calon di sini, meskipun telah hadir seawal pukul 8 pagi.

- Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.