ALOR GAJAH - Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak membebankan rakyat kerana ia tidak dikenakan ke atas barangan keperluan asas, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.



Beliau berkata sebaliknya pelaksanaan GST memberi banyak kesan positif secara menyeluruh kepada rakyat yang dipulangkan kerajaan dalam pelbagai bentuk pembangunan kemudahan atau infrastruktur dan insentif.

“Sebenarnya GST ini tidak membebankan rakyat kerana kerajaan memberi pelepasan pada barangan asas seperti beras, gula dan minyak yang merupakan keperluan penting yang digunakan dalam kehidupan seharian.

GST hanya dikenakan ke atas barangan yang telah diberi nilai tambah kerana ia merupakan satu cukai penggunaan khususnya bagi barang mewah..banyak barang mewah yang digunakan atau dibeli, maka GST perlu dibayar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MOF (Kementerian Kewangan) Bersama Rakyat peringkat negeri Melaka di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Masjid Tanah di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Calon Barisan Nasional Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO serta Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata Program MOF Bersama Rakyat merupakan program jelajah yang dilaksanakan di seluruh negara bagi memberi penerangan dan kefahaman kepada rakyat tentang perkhidmatan serta aktiviti yang dilakukan kerajaan agar rakyat tidak terpedaya atau dikaburi berita palsu.

“Akhir-akhir ini banyak berita palsu atau tidak berasas tentang kerajaan dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan ia perlu ditangani dengan sebaik mungkin melalui penerangan yang jelas mengenai isu yang dibangkitkan seperti dakwaan negara akan bankrap,” katanya.

Beliau berkata kedudukan kewangan dan ekonomi negara berada pada tahap yang baik dan dijangka pertumbuhan ekonomi akan berkembang antara 5.5 hingga enam peratus pada tahun ini dan ia menunjukkan kerajaan sedia ada mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

Katanya pertumbuhan ekonomi yang mampan ini juga akan dipulangkan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pembinaan hospital, sekolah dan jalan baharu. - Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.