Soalan bocor


NEW DELHI: Ratusan pelajar yang marah turun beramai-ramai ke jalanan di ibu negara India dalam tunjuk perasaan, sementara pihak polis menyoal siasat puluhan individu berkaitan insiden soalan peperiksaan sekolah menengah yang bocor.

Insiden soalan bocor itu membuatkan lebih daripada sejuta pelajar terpaksa mengulang semula peperiksaan itu, lapor AFP.

Polis kini menyoal siasat 45 orang termasuk pelajar dan tenaga pengajar berikutan isu berkenaan, namun belum ada sesiapa yang ditahan.

Soalan peperiksaan subjek Matematik dan Ekonomi telah tersebar dalam aplikasi Whatsapp sehari sebelum peperiksaan dijalankan, lalu memaksa pembatalan peperiksaan itu lalu mencetus kemarahan pelajar serta ibu bapa.

Penunjuk perasaan di New Delhi menyalahkan Lembaga Peperiksaan negara tersebut yang didakwa melakukan kecuaian.

Setiausaha Pendidikan Anil Swarup juga mengesahkan, lebih daripada sejuta pelajar diminta menduduki semula peperiksaan subjek Ekonomi pada 25 April nanti.

Bagi subjek Matematik, peperiksaan semula ditetapkan pada Julai, namun hanya khusus untuk Delhi dan Haryana kerana kebocoran soalan cuma berlaku di dua kawasan tersebut.

“Ini perkara yang malang. Para pelajar perlu menanggung derita akibat perbuatan orang lain,” ujar Swarup.

Penipuan dan memanipulasi sistem peperiksaan seperti merasuah pihak tertentu untuk mendapatkan soalan bocor, adalah sesuatu yang biasa di India.

Antara senario paling aneh adalah kenalan atau ahli keluarga yang sanggup memanjat tembok sekolah untuk memberikan jawapan kepada pelajar yang sedang menjawab soalan peperiksaan.

Menduduki peperiksaan Lembaga Pendidikan Menengah di India dan seterusnya lulus adalah penting bagi pelajar untuk diterima masuk ke universiti berprestij.

Pendidikan adalah satu persaingan dahsyat di negara yang berpopulasi tinggi dan padat itu, kerana ia adalah kunci untuk keluar dari kepompong kemiskinan seterusnya mengubah nasib hidup.

-Astroawani
loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Esscom berdepan 'musuh dalam selimut'