MENTERI Luar Negeri Anifah Aman berjanji akan melepaskan jawatannya dan keluar dari Umno jika perdana menteri gagal melaksanakan janjinya untuk mengembalikan hak keistimewaan Sabah.

Ahli Parlimen Kimanis itu bagaimanapun berkata beliau yakin bahawa Najib seorang yang menepati janjinya.

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) akan tetap menang pilihan raya kali ini… tetapi jika Najib gagal menunaikan janjinya. Saya tidak mahu jadi menteri; saya tidak akan lagi bersama Umno,” katanya pada sebuah acara di SK Kimanis, di Kimanis hari ini.

Anifah berkata beliau mahu melihat hak keistimewaan Sabah dikembalikan seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ia antara sebab mengapa beliau melancarkan inisiatif yang dinamankan MySabah dan memulakan perbincangan mengenai MA63 bersama pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

“Perdana menteri sudah berjanji untuk memulangkan hak negeri, tidak kira kerajaan Persekutuan telah mengambilnya secara tidak sengaja atau tidak, atau melaksanakn semua yang dipersetujui dalam MA63… dan saya yakin Najib, adalah orang yang tidak memungkiri janjinya.”

Mengulas pengembalian semula hak minyak dan gas Sarawak, Anifah berkata negeri tersebut mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan hak mereka kembali sementara Sabah akan tetap menggunakan pendekatan diplomatik melalui saluran dialog dan rundingan.

Beliau berkata tidak seperti Sabah, Sarawak tidak layak untuk menuntut 40% daripada keuntungan pendapatan bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuaan, seperti yang termaktub dalam MA63.

Mesyuarat hak negeri Sabah dan Peguam Negara Mohd Apandi Ali mengadakan pertemuan dan perbincangan pada 9 Februari lepas berhubung pengembalian hak Sabah.

Apandi mendedahkan bahawa Sabah mempunyai hak dalam Artikel 112D, yang menyatakan negeri itu mempunyai hak untuk menuntut 40% daripada keuntungan pendapatan bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuaan untuk setiap lima tahun.

Pada tahun lepas Pandikar Amin menegaskan bahawa tidak ada isu dalam MA63 sehingga beliau mencabar Ketua Menteri Sarawak untuk berdebat tentang isu MA63. Dalam pada itu Pandikar Amin diselar oleh aktivis Sabah dan Sarawak.

Najib telah menabur pelbagai janji berhubung isu mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, malah pernah mengulangi janji yang sama ketika sambutan Hari Malaysia yang diadakan di kedua-dua negeri tersebut. – 10 Mac, 2018.


-www.themalaysianinsight.com

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.