SEREMBAN - Walaupun kes Cikgu Azizan bukan sesuatu diingini oleh warga pendidik, namun sedikit sebanyak kewujudannya menyedarkan orang ramai terhadap realiti profesion perguruan masa kini yang diasak pelbagai cabaran dari segenap sudut.

Demikian pandangan bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Kalsom Khalid terhadap situasi menimpa Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap, 44, apabila diheret ke mahkamah sebelum ini kerana didakwa mencederakan murid berusia 11 tahun.

“Bagi saya, kes ini membuka mata masyarakat berhubung masalah sebenar dihadapi oleh guru.

"Selama ini, kita rasa guru hanya mengajar (dalam kelas), sebaliknya mempunyai tugasan lebih dari itu, sebab mereka mendidik,” katanya.

Secara tidak langsung katanya, kes itu membuka ruang bagi perbincangan lebih luas membabitkan punca sebenar masalah murid terbabit, yang dipercayai terlibat kegiatan hidu gam seawal peringkat sekolah rendah.

“Daripada kita sibuk bincang apa tindakan perlu diambil terhadap guru dan sebagainya, lebih baik tumpu kepada langkah perlu diambil terhadap murid terbabit.

“Fikirkan apa tindakan penambahbaikan perlu dilaksanakan di sekolah yang mungkin ada banyak masalah sebegini. Kita mesti bantu murid ini itu kerana perjalanan masa depannya masih jauh,” katanya di Matrix Global Schools di Bandar Sri Sendayan di sini, semalam.

Beliau yang berpengalaman dalam dunia pendidikan selama 37 tahun dan pernah menggalas beberapa jawatan termasuk pengetua sepanjang tempoh berkenaan berkata, senario digambarkan media sosial pula tidak seperti diharapkan.

Ini kerana katanya, tumpuan hanya kepada tindak-tanduk guru dan kemahuan ibu bapa sahaja tanpa mempedulikan kehendak murid itu sendiri.

 “Jadi sebagai guru, kita kena tengok nasib murid. Saya percaya, bukan seorang itu saja, mungkin ada ramai lagi murid lain (terlibat menghidu gam).

“Kita perlu beri peluang kepada murid sebegini bina masa depan, tapi kalau kita biarkan, saya rasa kita telah membunuh masa depan mereka,” katanya.

Kalsom berkata, semua pihak misalnya Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan perlu duduk semeja mencari jalan penyelesaian.

-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.