PEMIMPIN serta aktivis Sabah dan Sarawak terus menyelar Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, yang tidak bersetuju hak-hak Sabah tidak dilaksanakan sepenuhnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pandikar, dalam satu forum di Kota Kinabalu pada hujung minggu lalu, berkata mereka yang mendakwa hak-hak Sabah di bawah perjanjian itu telah dimungkiri hanya "retorik kosong politik" untuk mencetuskan rasa marah dan benci dalam kalangan rakyat Sabah yang mungkin tidak memahami sepenuhnya sejarah pembentukan Malaysia.

Beliau juga menepis dakwaan kerajaan persekutuan tidak membawa kemajuan ke Sabah dan Sarawak, dengan merujuk contoh Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan dan cadangan membina sebuah jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah.

Presiden Parti Pembaharuan Negeri Sarawak (Star), Lina Soo berkata Pandikar hanya "sembang kencang" tentang MA63.


"Beliau tidak teliti perjanjian itu. Pandikar tidak tahu atau faham apa yang beliau katakan," kata Soo kepada The Malaysian Insight.

Katanya lagi, speaker itu sepatutnya diberi kelas kilat tentang implikasi perundangan, keabsahan dan kesan MA63.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pandikar bahawa dokumen undang-undang dan perjanjian berkaitan pembentukan Malaysia seperti perjanjian 20 perkara bagi Sabah, perjanjian 18 perkara bagi Sarawak dan Laporan Suruhanjaya Cobbold bukanlah perjanjian yang mengikat dari segi perundangan.

Menurut Pandikar hanya MA63 yang mengikat dari segi perundangan.

"Untuk juga menyatakan Sabah dan Sarawak adalah setara dengan negeri-negeri Melayu dalam Perjanjian Persekutuan Malaya 1957 jelas menunjukkan kejahilannya tentang status sebenar Sabah dan Sarawak sebagai negara berdaulat dalam seluruh persekutuan," kata Soo.

Tentang dakwaan Pandikar bahawa kerajaan persekutuan sudah membawa kemajuan ke Sabah dan Sarawak, beliau berkata Pandikar harus diingatkan bahawa Sabah adalah wilayah paling miskin di Malaysia menurut sebuah laporan oleh Bank Dunia.

"Pandikar tampaknya hanya melihat yang elok saja dan mengetepikan realiti sebenar apabila kegagalan kerajaan persekutuan melaksanakan MA63 menyebabkan Sabah dan Sarawak mempunyai kadar kemiskinan dan buta huruf yang paling tinggi."

James Chin, anak Sarawak yang mahir dalam hal ehwal tadbir urus di Malaysia, Indonesia dan Singapura, berkata walaupun beliau bersetuju dengan Pandikar bahawa hanya MA63 satu-satunya perjanjian yang ada kesan perundangan, rasa tidak puas hati rakyat di Sabah dan Sarawak kini berpunca daripada apa yang mereka lihat sebagai kegagalan untuk melaksanakan semangat perjanjian tersebut.

Beliau merujuk kepada tiga dokumen di atas serta laporan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Pengarah di Asia Institute Tasmina, Universiti Tasmania berkata walaupun semuanya dimasukkan dalam MA63, kebanyakan perjanjian itu diketepikan atau diubah dalam tempoh 50 tahun yang lalu.

Katanya, kebanyakan hak autonomi yang diberikan kepada dua wilayah Borneo dalam MA63 "hilang" semasa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkuasa selama 23 tahun, ketika beliau memusatkan kuasa pada kerajaan persekutuan.

"Kebanyakan kuasa itu diambil melalui peraturan birokrat. Contoh yang jelas ialah dalam soal pendidikan.

"Dengan memusatkan pendidikan, Sabah dan Sarawak secara automatik hilang kuasa autonominya."

Menurut Chin, pemimpin politik Sabah dan Sarawak harus sama dipersalahkan atas rasa tidak puas hati rakyat sekarang.

"Kena lihat isu ini secara menyeluruh. Oleh kerana kerajaan Sabah dan Sarawak adalah bahagian daripada pakatan pemerintah Barisan Nasional, mereka selalunya (pemimpin politik BN) membiarkan Putrajaya mengambil alih apa yang sebelum itu merupakan isu negeri.

"Adakalanya mereka sendiri yang meminda perlembagaan negeri."

Beliau memberi contoh bagaimana Islam dijadikan sebagai agama rasmi di Sabah.

Pindaan perlembagaan itu bertentangan dengan perkara pertama dalam perjanjian 20 perkara yang menyatakan walaupun tidak ada bantahan terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, "tidak ada agama rasmi bagai North Borneo, dan peruntukan berkaitan Islam dalam Perlembagaan Malaysia tidak terpakai pada North Borneo".

North Borneo adalah nama asal Sabah.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Dr Bilcher Bala sementara itu bersetuju dengan Soo bahawa pembangunan yang tidak seimbang punca rasa tidak puas hati penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pensyarah sejarah itu berkata pembangunan yang tidak seimbang dalam "hampir semua perkara" — sosial, politik dan ekonomi — menjadikan wilayah di Borneo itu lebih lantang dalam tuntutan mereka agar terma-terma MA63 dilaksanakan sepenuhnya.

"Ia memaksa Sarawak menuntut hak-hak dan jaminan dilindungi sejajar dengan yang dipersetujui dalam MA63," katanya.

Beliau merujuk kepada usul yang diluluskan oleh sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 9 November lalu yang memberi mandat kepada kerajaan negeri untuk melakukan "langkah-langkah wajar" di bawah Artikel VIII Perjanjian Malaysia bagi memastikan cadangan yang dikemukakan dalam laporan IGC dilaksanakan sepenuhnya untuk menjamin hak istimewa Sarawak.

Usul yang sama sedang hangat dibincangkan di Sabah, apabila pemimpin Parti Warisan Sabah mengemukakan usul yang sama untuk membahaskan MA63 di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Langkah itu bagaimanapun disifatkan oleh penasihat undang-undang MySabah, Tengku Fuad Ahmad sebagai tidak perlu.

"Tidak ada keperluan untuk membentangkan usul menyokong semakan MA63 di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel 112D memperuntukkan rundingan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah untuk persetujuan mengenai pemberian ke atas Sabah mengikut Bahagian IV Jadual Kesepuluh iaitu 40% hak ke atas hasil pendapatan daripada Sabah.

Yang menjadi perhatian rakyat Sabah ialah kegagalan kerajaan persekutuan menyalurkan semula 40% hasil pendapatan itu yang kata mereka boleh digunakan untuk dana pembangunan dan mengeluarkan Sabah daripada masalahnya sekarang.

"Sebarang ketetapan di DUN bukan saja tidak perlu dan membuang masa tetapi juga mencabul maksud dan tujuan artikel berkenaan," kata Fuad. – 15 November, 2017.

-www.themalaysianinsight.com

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.