Sejumlah 64 peniaga hilang sumber pendapatan selepas lot gerai mereka yang menjual pelbagai barangan termasuk kraftangan dan pakaian di Pasar Gantung musnah dalam kebakaran di Jalan Stephen Tan, di Tawau awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 4.41 pagi itu, api marak dengan cepat sehingga merebak ke bangunan dua tingkat bersebelahan menyebabkan 12 kedai menjual pelbagai barangan termasuk sebuah hotel bajet turut terbakar.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Pegawai Bomba Kanan 1, Faisal Ahmad. berkata daripada jumlah 12 kedai, lima musnah sepenuhnya manakala tujuh lagi terbakar 50 peratus.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.50 pagi dan  tiba di lokasi dua minit kemudian dengan 25 anggota bersama empat jentera.

"Operasi pemadaman mengalami kesukaran disebabkan tekanan air rendah di kawasan tersebut dan pihaknya terpaksa mendapat bantuan Jabatan Bekalan Air untuk menghantar lori tangki  air sebelum kebakaran dapat dikawal, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Faisal berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 7.23 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan di tempat kejadian.

Beliau berkata operasi itu turut menerima bantuan Balai Bomba Kunak, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Jabatan Air, Majlis Perbandaran Tawau serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Salah seorang saksi kejadian, Alias Alimuddin, berkata kebakaran bermula sebaik azan Subuh dilaungkan pada jam  4.41 pagi tadi.

"Kebakaran bermula dari hujung gerai berhampiran dengan pagar masjid bandar...api mula marak dari sebelah pagar masjid dan terus merebak ke gerai lain," katanya.

Kebakaran pagi ini merupakan ketiga dalam masa dua minggu di Tawau selepas kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4, pada 1 Julai lepas dan di Jalan Tawau Lama, Batu 2, Isnin lalu.

- Bernama

1 Comments

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

  1. Kawasan setinggan di Tawau selalu sahaja ada kebakaran.

    ReplyDelete

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.