Mahkamah Tinggi Miri hari ini membebaskan riga daripada empat lelaki yang dituduh membunuh aktivis PKR Bill Kayong pada 21 Jun tahun lalu.


Ketiga-tiga mereka, Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 46, Chin Wui Ching, 51, dan Lie Chang Loon, 38, didakwa bersubahat dengan Mohamad Fitri Pauz, 30, melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut akhbar Borneo Post, Lee, Chin dan Lie dibebaskan daripada semua pertuduhan manakala Fitri diarahkan untuk membela diri.

Akhbar itu juga melaporkan rakan-rakan dan ahli keluarga Allahyarham Bill Kayong meluahkan kemarahan mereka di luar mahkamah selepas keputusan dibuat untuk membebaskan ketiga-tiga tertuduh.

Kayong, 43, yang adalah calon PKR di kawasan Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei tahun lalu mati ditembak ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Baram berhampiran sebuah pasar di Miri.

Bill yang juga setiausaha politik kepada Dr Michael Teoh, ahli parlimen Miri meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialaminya.

Beliau juga dikatakan antara individu dalam PKR yang lantang memperjuangkan hak rakyat pribumi Dayak di utara Sarawak, khususnya berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.