PEMAIN tengah Pescara, Sulley Muntari, berkata dia "dilayan sebagai penjenayah" selepas menjadi mangsa serangan perkauman yang terbaru dalam aksi Serie A berdepan Cagliari.

Muntari meninggalkan padang selepas dilayangkan kad kuning kedua kerana mengadu kepada pengadil perlawanan mengenai sorakan-sorakan berbaur perkauman daripada penyokong pasukan lawan.

Insiden tersebut memberikan penggantungan satu perlawanan buat Muntari, di mana Pescara tidak melakukan sebarang rayuan untuk menarik semula hukuman tersebut.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Ghana itu mendapatkan bantuan daripada Kesatuan Pemain-Pemain Itali yang akan membuat rayuan mengenai hukumannya.

"Saya berasakan terdapat seseorang yang akhirnya mendengar rintihan saya," katanya.

"Ia merupakan hari-hari yang amat menyedihkan buat saya. Saya sangat marah dan tersisih.

"Saya dilayan bagaikan penjenayah. Mengapa saya yang dihukum ketika saya merupakan mangsa serangan perkauman?

"Saya berharap isu ini akan membantu pemain-pemain supaya tidak mengalami perkara yang sama.

"Ia merupakan satu kemenangan yang berharga bagi menyampaikan mesej bahawa isu perkauman tiada tempat di dalam bola sepak dan masyarakat secara umumnya."

-Astroawani

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.