Suspek Pertama Dakwa Racun Jong-Nam Satu ‘Prank’


SEORANG wanita yang ditahan sebagai suspek pembunuhan abang tiri Kim Jong-un dilaporkan berkata dia telah diarahkan untuk menyembur sejenis cecair yang disyaki racun kepada lelaki itu sebagai satu prank.

Wanita yang membawa pasport Vietnam itu telah ditahan sehari selepas pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Polis Malaysia telah mengesahkan Doan Thi Huon,29, telah ditahan selepas dia dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dia berseorangan semasa ditangkap.

Menurut seorang wartawan daripada khabar Oriental Daily Hong Kong, wanita itu memberitahu pihak polis bahawa dia telah dipaksa melakukan prank tersebut oleh empat orang lelaki.

Dia kemudiannya diarahkan untuk menyembur cecair itu ke arah Jong-nam manakala seorang lagi wanita menutup mukanya dengan sehelai kain.

Namun, wanita itu mendakwa dia tidak lagi bertemu dengan empat lelaki tersebut mahupun seorang lagi suspek wanita itu dan kemudiannya pulang kembali ke lapangan terbang pada hari Rabu di mana dia ditahan.

Polis Malaysia masih belum memberikan komen berhubung laporan tersebut.

Penahanan wanita itu kebetulan berlaku pada hari yang sama Korea Utara menghalang  bedah siasat dilakukan ke atas mayat Jong-nam.

Wanita kedua yang ditahan awal pagi ini berhubung kes pembunuhan itu pula dipercayai pemegang pasport Indonesia.

Khalid berkata suspek kedua itu bernama Siti Aishah yang dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Februari 1992.

“Polis juga mengesahkan bahawa identiti suspek itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup di klia2 dan wanita itu keseorangan ketika ditahan.

“Siasatan akan berterusan dan tindakan terhadap suspek akan diambil mengikut undang-undang,” kata Khalid dalam kenyataan di sini, Khamis.

Isnin lepas, Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau, China apabila seorang wanita dikatakan menghampiri mangsa sebelum menerkup kepalanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Berikutan penahanan dua suspek wanita itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata lebih banyak tangkapan dijangkakan selepas ini.

Difahamkan, polis sedang memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu. –MYNEWSHUB.CC/SK

loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Esscom berdepan 'musuh dalam selimut'