Korea Utara dakwa M'sia sekongkol dengan 'kuasa seteru', tolak bedah siasat


Korea Utara mendakwa Malaysia bersekongkol dengan "kuasa-kuasa seteru" selepas dilihat kecewa bahawa pihak berkuasa telah menjalankan bedah siasat ke atas Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, tanpa kerelaan republik itu.

Menurut Reuters, Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol membacakan satu kenyataan di luar Hospital Kuala Lumpur di mana bedah siasat dijalankan, hampir tengah malam semalam. Malaysiakini mendapat salinan kenyataan akhbar itu.

"Mereka mendakwa (menjalankan) bedah siasat ke atasnya yang kami tolak kerana dia seorang pemegang pasport diplomatik dan warganegara kami yang berada di bawah perlindungan konsular DPRK (Republik Demokratik Rakyat Korea).

"Tetapi, pihak Malaysia memaksa bedah siasat itu tanpa kebenaran dan disaksikan oleh kami.

"Kami secara mutlak akan menolak keputusan bedah siasat yang dijalankan secara unilateral termasuk tanpa kehadiran kami," kata duta itu.

Bagaimanapun, beliau tidak secara khusus menamakan Kim, dan hanya merujuknya sebagai seorang warganegara Korea Utara.

Kang Chol mengadu bahawa Malaysia enggan menyerahkan mayat itu selepas bedah siasat walaupun ada usaha itu oleh pihak kedutaan Korea Utara melalui Wisma Putra.

Beliau menyifatkannya sebagai kemuncak kepada pencabulan hak asasi manusia dan melanggar hak warganya, mengabaikan undang-undang antarabangsa dan undang-undang konsular.

Kang Chol turut mempersoalkan agenda Malaysia selepas gagal untuk mendapatkan mayat Kim selepas mengadakan satu pertemuan dengan pihak polis.

Katanya, beliau telah bertemu dengan pegawai tinggi polis Malaysia dan menuntutnya menyerahkan mayat itu tanpa berlengah-lengah lagi. Tetapi katanya, pegawai itu menolak permintaannya dengan membangkitkan isu yang menurutnya tidak ada kena mengena dengan penjelasan mengenai punca kematian.

Kang Chol mendakwa itu seperti menunjukkan bahawa pihak Malaysia cuba untuk menyembunyikan sesuatu yang memerlukan lebih banyak masa dan bahawa ia bersekongkol dengan 'kuasa-kuasa seteru' yang berniat jahat terhadap mereka.

Kang Chol kemudian membuat rujukan kepada "pihak berkuasa boneka Korea Selatan" dan mendakwa adanya usaha untuk mengalihkan perhatian daripada skandal presiden negara itu Park Geun-hye.

Sehubungan itu, katanya, mereka menggesa dan menuntut pihak Malaysia tidak terlibat dalam plot politik kuasa-kuasa berseteru dan menyerahkan mayat itu dan hasil bedah siasat kepada mereka tanpa berlengah lagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat semalam berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi keutaman kepada keluarga 'Kim' untuk menuntut mayat Kim Jong-nam. -Malaysiakini

loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Esscom berdepan 'musuh dalam selimut'