KOTA KINABALU - Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam kejadian bot pelancong karam di perairan dekat Pulau Mengalum, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din malam ini.

Mereka adalah antara 25 orang yang dijumpai selepas kejadian bot pelancong jenis Catamaran, yang membawa tiga kru dan 28 pelancong China, karam dalam perjalanan dari Jeti Tanjung Aru di sini ke Pulau Mengalum semalam.

"Kira-kira 3.30 petang tadi, kami menerima maklumat bahawa dua mangsa telah ditemui di perairan dekat Samarang.

"Kira-kira 6 petang pula, kami mendapat satu lagi maklumat mengatakan 23 mangsa ditemui dekat Samarang tetapi tiga daripadanya mati manakala enam lagi masih dicari," katanya pada sidang berita di sini.

Beliau berkata identiti mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan masalah perhubungan dengan bot nelayan yang menjumpai mangsa itu.

Ramli berkata tiga mayat itu serta 20 lagi mangsa yang selamat dijangka tiba di Kota Kinabalu awal pagi esok dengan diiringi Pasukan Polis Marin.

Beliau berkata dua mangsa yang ditemui selamat sebelum ini telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu petang tadi untuk diambil keterangan.

Mangsa itu dikenali sebagai Aman Abdul, 38 dan Sharezaa Salian Sali, 25, kedua-dua lelaki tempatan.

Menurutnya kejadian itu berlaku kira-kira 10 pagi, sejam selepas bot itu bertolak dari Jeti Tanjung Aru, berikutan cuaca buruk dan laut bergelora.

Polis sedang menyiasat jika terdapat faktor kecuaian dalam kejadian itu. – Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.