KUALA LUMPUR: Warga Malaysia merupakan dalang penculikan habuan kewangan di perairan pantai timur Sabah yang pernah meragut nyawa rakyat Malaysia suatu masa dahulu.

Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari, berkata beliau mempunyai bukti dakwaan tersebut.

Menurut pemimpin kumpulan pemisah Islam Filipina itu, beliau tidak akan teragak-agak untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, termasuklah mahkamah antarabangsa.

"(Warga) Malaysia adalah dalang yang terlibat dalam penculikan demi habuan kewangan di perairan pantai timur Sabah. Mungkin satu hari nanti saya akan bawa mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah antarabangsa (untuk dibicarakan).

 "Saya ada semua bukti ditangan saya dan orang saya ada di mana-mana. Malah, dalang disebalik penculikan ini sebenarnya mengupah orang-orang saya sendiri bagi melakukan penculikan itu," katanya.

Misuari berkata demikian sewaktu sidang media selepas pertemuannya dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte di Malacanang, Filipina, pada Khamis.

Pertemuan itu merupakan salah satu usaha Duterte bagi menamatkan pemberontakan masyarakat Islam di selatan Filipina yang berlarutan sedekad lamanya.

Dalam pertemuan tersebut, Misuari juga menyatakan rasa kesalnya dengan kepimpinan bekas Presiden Filipina, Benigno Aquino, yang tidak mahu bekerjasama dengan masyarakat Islam Filipina bagi mencapai perdamaian.

Pada 2014, kerajaan Malaysia pernah menuduh Misuari sebagai dalang kes penculikan di Sabah bagi mengumpul dana untuk membentuk semula tentera upahannya.-AWANI

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.