Dua tekong kapal nelayan diculik di perairan Kinabatangan


SANDAKAN: Dua tekong kapal nelayan dipercayai diculik di perairan Kertam, Kinabatangan hari ini, menurut Persatuan Nelayan Sabah.

Menurut sumber persatuan itu, tekong dua kapal nelayan itu ialah warga Indonesia dan kedua-dua kapal berdaftar di Sandakan.

Menurutnya dalam kejadian yang didakwa berlaku antara 11 pagi hingga 12 tengah hari itu, sebuah bot laju dinaiki beberapa lelaki bersenjata dikatakan menghampiri dua kapal nelayan tersebut dan 'melarikan' dua tekong berkenaan.

Katanya ketika kejadian terdapat tiga kapal nelayan tetapi sebuah kapal nelayan berjaya meninggalkan kawasan perairan selepas terdengar isyarat di radio berkaitan insiden tersebut.

"Kru kapal nelayan tidak diapa-apakan dan meneruskan perjalanan balik ke Sandakan.

"Saya dimaklumkan dua kapal nelayan itu dan kru kini berada di pangkalan Pasukan Polis Sandakan," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata pihaknya masih menunggu laporan mengenai insiden itu.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata pihaknya belum dapat memberi pengesahan dan masih menyiasat laporan insiden tersebut.

-ASTROAWANI

loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Esscom berdepan 'musuh dalam selimut'