BERIKUTAN kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa tiada wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan militan Abu Sayyaf untuk membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik dari perairan antarabangsa di luar Pulau Ligitan, 1 April lalu, keluarga mangsa culik terbabit kini dalam keadaan tertekan.

Ahli-ahli keluarga mangsa culik memberitahu sebenarnya wang tebusan yang diperolehi hasil sumbangan orang ramai telahpun diserahkan kepada pihak polis.

Sin Chew Jit Poh melaporkan, ibu saudara kepada salah seorang mangsa, iaitu Johnny Lau Jung Hien, 21, berkata, sekiranya polis tidak ingin mengumumkan mengenai wang tebusan itu, ahli-ahli keluarga mangsa culik ini akan mengadakan sidang akhbar sedikit masa lagi supaya dapat memberikan penjelasan kepada orang ramai yang banyak menyumbangkan wang derma kepada mereka.

Ahli keluarga ini tetap menegaskan sekiranya tiada wang tebusan diberikan kepada pihak pengganas itu, keempat-empat mangsa culik itu tidak mungkin dapat dibebaskan dengan begitu senang.

Difahamkan, kebanyakan hasil derma adalah datang dari penduduk Sibu, Sarawak dan beberapa negeri lain di seluruh negara. Tidak ketinggalan, keluarga mangsa turut mendapatkan bantuan wang dari negara China dan beberapa buah negara asing.

Selain JungHien, mangsa-mangsa culik lain ialah adik beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chi, 29 dan rakan sekerja Wong Hung Sing, 34.

Khalid sebelum ini berkata, keempat-empat tebusan itu dibawa pulang ke tanah air oleh Unit Tindakan Khas (UTK) selepas dibebaskan tanpa sebarang pembayaran wang tebusan.

Khalid berkata, beliau sendiri tidak tahu tentang wang tebusan.

“Kita tidak ada membuat sebarang bayaran..tanyalah pada keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting mangsa dalam keadaan selamat dan bagaimana kita lakukan itu terserah pada PDRM. Cuma diingatkan agar masyarakat memberi kepercayaan dan keyakinan dalam polis mengendalikan perkara demikian.

Katanya, perkara ini tidak boleh didedah kerana ia akan melibatkan kesukaran kepada pihaknya.

Kumpulan penculik difahamkan pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak 300 juta peso (kira-kira RM30 juta) sebelum mengurangkan kepada 180 juta peso (kira-kira RM18 juta) untuk pembebasan empat pemuda dari Sibu itu.

Sebaik sahaja dibebaskan, empat tebusan itu dilaporkan menaiki bot selama lapan jam dari Jolo ke Sandakan.

Manakala China Press pula melaporkan, seorang lagi keluarga JungHen memberitahu, mereka akan menjelaskan kedudukan sebenar mengenai sumbangan wang tebusan itu sebaik sahaja JungHen selamat pulang ke pangkuan keluarga di Sibu.

"Pihak keluarga kami akan meminta nasihat daripada pihak polis untuk menguruskan hal ini. Selepas JungHeng pulang, kami akan bincang semula," katanya.

Akhbar ini melaporkan, jumlah sebenar wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan militan Abu Sayyaf untuk membebaskan keempat-empat mangsa culik itu masih meninggalkan tanda tanya.

Sejak tahun 2000, lebih kurang 10 kes penculikan dilaporkan berlaku di sekitar kawasan perairan Sabah. Daripada semua kes berkenaan, pihak polis tidak pernah memberikan maklumat mengenai jumlah wang tebusan yang diberikan kepada penculik.

Malah, pihak berkuasa tidak akan memberitahu dan mengakui mengenai pembayaran wang tebusan. Hal ini sebenarnya telah bukan jadi rahsia lagi kepada ramai orang. Sekiranya jumlah wang tebusan diberitahu secara umum, sudah pasti ia akan memberikan gambaran negatif kepada pihak berkuasa.

Oleh itu, akhbar ini menulis, semua pihak perlu menerima hakikat mengenai kenyataan Ketua Polis Negara itu.-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.