Jenazah Datuk Noriah Kasnon selamat dikebumikan


Jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong di Tanjong Karang kira-kira jam 2 pagi ini.

Jenazah Allahyarham disemadikan di kampung kelahirannya selepas disembahyangkan di Masjid Ar Rahmah, Batu 12.

Selain anggota keluarga, turut hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Naib presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillay.

Allahyarham, 52, yang juga anggota Parlimen Sungai Besar meninggalkan empat orang anak berumur 29, 24, 21 dan 19 tahun daripada perkahwinan beliau sebelum ini serta seorang anak angkat berumur tiga tahun.

Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Khamis.

Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Turut menaiki helikopter tersebut ialah Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun. Juruterbangnya ialah warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Surau Al-Jahirah, Pangkalan Udara Kuching sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara TUDM Subang.

Turut sama menunaikan solat jenazah adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota keluarga Noriah.

Jenazah tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada pukul 11.40 malam tadi dengan pesawat Charlie C130H melalui penerbangan ihsan dari Pangkalan Udara Kuching, Sarawak yang berlepas kira-kira pukul 9.15 malam.

Sanak saudara dan sahabat handai yang berkumpul di perkarangan pangkalan udara itu diselubungi perasaan sedih dan pilu.

Antara yang hadir ialah Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Jenazah kemudian dibawa ke Parit Dua, Sungai Burung di Tanjung Karang untuk urusan pengebumian.

- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Raja bomoh Ibrahim Mat Zin pembohong