PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tersilap sebelum ini apabila mendakwa sejumlah RM42 bilion telah hilang dari akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, beliau berkata, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ternyata mendapati jumlah yang jauh lebih besar iaitu RM50 bilion.

"Laporan PAC sebut bukan RM42 bilion tetapi RM50 bilion. Jauh lebih banyak, maka saya silap sebab sebelum ini saya nyatakan jumlah yang lebih kecil.

"Saya rasa RM50 bilion ini juga tidak betul, mungkin lebih dari itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri dialog Deklarasi Rakyat: Realiti atau Fantasi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blognya semalam bahawa laporan PAC yang diumumkan membuktikan tuduhan Mahathir terhadap 1MDB selama ini adalah tidak benar.

Ketika ditanya mengenai laporan PAC yang meminta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim disiasat, Mahathir berkata, Najib sebagai pengasas 1MDB merupakan individu yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap syarikat itu.

-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.