Hari pernikahan yang dinanti- nantikan seorang posmen untuk disatukan bersama kekasih hatinya dengan hantaran RM19,000, semalam menjadi hari paling mengecewakan dalam hidupnya apabila impian mendirikan rumah tangga punah.

Bakal pengantin itu terkejut apabila kediaman bakal pengantin perempuan tidak berpenghuni dan bakal isterinya tidak dapat dihubungi sedangkan tarikh berkenaan merupakan tarikh mereka disatukan dan dinikahkan di rumah tersebut sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, rombongan pengantin lelaki juga terpaksa menanggung malu dan rasa tertipu susulan telah menyerahkan wang hantaran  RM16,000 sebelum hari pernikahan.

Difahamkan, walaupun perbincangan majlis akad nikah dan perkahwinan belah pihak pengantin perempuan telah ditetapkan sebelum ini dan kad jemputan telah dibuat, namun jiran berdekatan tidak mengetahui hal tersebut dan tidak mendapat jemputan.

Menurut sumber, bakal pengantin lelaki berusia 26 tahun itu telah mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pekerja kedai telefon di salah sebuah kedai di Pulau Sebang pada pertengahan 2014.

Sumber berkata, bakal pengantin lelaki telah menyerahkan wang hantaran RM13,000 kepada keluarga pengantin perempuan yang tinggal kira- kira 3 kilometer dari kediaman keluarganya pada pertengahan November lalu dan pada awal Mac lalu, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM3,000 lagi.

Kata sumber, baki sebanyak RM3,000 lagi bakal diserahkan lelaki itu kepada bakal isterinya itu di hari mereka disatukan dengan ikatan akad nikah yang sepatutnya berlaku semalam.

Bakal pengantin lelaki difahamkan turut mengalami kerugian lebih RM30,000 berikutan sudah membuat pelbagai persediaan di majlis perkahwinan rumah pengantin perempuan termasuk pelamin, baju pengantin dan jurukamera.

Menurut sumber, mangsa bakal mengambil tindakan saman malu berhubung insiden berkenaan kerana bakal pengantin melarikan diri di hari perkahwinan termasuk mengedarkan kad jemputan perkahwinan bagi pihak keluarga lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang  mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

-Sinarharian



Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.