Seorang lelaki terkejut selepas mendapati 'objek' yang sedang dibaham dua ekor biawak di bawah sebuah rumah atas air di Lorong 3, Kampung Air, dekat Semporna petang semalam, adalah mayat seorang bayi.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata bayi yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan oleh lelaki berkenaan ketika dia memandikan anaknya di dalam bilik air rumahnya, pada jam 3.34 petang.

"Penduduk (lelaki) berkenaan terkejut apabila mengamati objek yang menjadi rebutan dua ekor biawak itu adalah tangan manusia. Lelaki itu terus bertindak mendekati dan mengusir biawak berkenaan daripada memakan objek tersebut," kata Peter dalam kenyataan hari ini.

Katanya lelaki itu yang pergi melihat bayi berkenaan dengan lebih dekat, mendapati objek itu adalah tubuh bayi yang tidak sempurna.

Lelaki itu kemudian meminta bantuan orang kampung untuk mengutip sisa tubuh yang ada dan segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Tempat penemuan mayat bayi ini telah dilawati dan didapati kawasan itu adalah kawasan rumah atas air, yang dipenuhi sampah sarap. Mayat bayi ditemui ketika air laut sedang surut," katanya.

Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

- Bernama


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.