Sebanyak 913 kes denggi dilaporkan di Sabah dari Januari hingga 10 Mac lepas, meningkat 70 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi berkata daerah Sandakan mencatatkan kes denggi tertinggi sebanyak 319 diikuti Kota Kinabalu (152) dan Tawau (72) daripada keseluruhan kes denggi di Sabah.

Katanya terdapat 11 lokaliti wabak denggi aktif melibatkan 7 daerah iaitu Sandakan (5 lokaliti) dan 1 lokaliti masing-masing di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Papar, Beluran, Tuaran dan Semporna.

Sementara itu, beliau berkata setelah Ops Mega Kawalan dan Pencegahan Denggi dilaksanakan di daerah ini, bilangan kes denggi  menurun sebanyak 96% setakat ini.

Operasi itu bermula pada 15 Februari lepas dan akan berakhir 15 Mac ini, katanya pada sidang akhbar berkenaan operasi itu di Sandakan.

Menurutnya menerusi pelaksanaan Ops Mega, aktiviti penghapusan tempat pembiakan aedes  dijalankan di 112 lokaliti dan sebanyak 12,014 premis diperiksa.

Katanya aktiviti semburan kabus (fogging) juga dijalankan di 150 lokaliti dan seluas 978 hektar kawasan  disembur.

Dr Christina berkata sebanyak 21 notis kompaun dikeluarkan dan 71 notis Seksyen (8) dikeluarkan sepanjang Ops Mega di Sandakan. – Bernama, 13 Mac, 2016.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.