Krew agensi media Australia ABC Four Corners ditahan di Malaysia semasa melaporkan "isu politik tempatan" kata syarikat itu, lapor The Sydney Morning Herald (SMH).

ABC bagaimanapun masih belum mengesahkan siapa yang ditahan tetapi dipercayai wartawan Linton Besser dan jurukamera ditahan dan dibebaskan beberapa jam selepas menghadiri sidang media di Malaysia.

"Mereka tidak didakwa dengan sebarang kesalahan," kata jurucakap ABC seperti dilaporkan SMH.

Penerbit Eksekutif ABC Four Corners Sally Neighbour menulis di Twitter, kedua-dua wartawan itu ditahan selepas bertanya soalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kuching semalam. Wartawan tersebut berlepas ke Kuching pada hari sebelumnya dan mahu bertanyakan soalan kepada Najib mengenai dakwaan wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sewaktu perdana menteri mengunjungi Kampung Haji Baki di Kuching.

Bagaimanapun, Najib tidak menjawab pertanyaan wartawan itu dan pasukan keselamatan kemudiannya meminta mereka beredar.



Mereka kemudiannya kembali ke hotel penginapan tetapi sepasukan anggota polis dari Kota Sentosa menahan mereka tidak lama kemudian.

Kakitangan kedutaan Australia di Kuching melantik seorang peguam untuk mengendalikan kes penahanan itu.

Mereka di siasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam yang melakukan urusan rasmi.

Hukuman, sekiranya didapati bersalah, ialah 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketua Penyiasat Polis Sarawak SAC Dev Juman M M Sree Shunmugan mengesahkan kejadian itu dan berkata polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.

Sebelum berlepas ke Kuching, kedua-dua wartawan warga Australia itu membuat liputan sidang media A Santamil Selvi, balu kepada penyiasat persendirian P Balasubramaniam.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.