TPP dijamin tidak ulangi Perjanjian Pangkor


BAGAN SERAI - Langkah kerajaan Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di Auckland, New Zealand semalam dijamin tidak akan mengulangi kesan negatif akibat Perjanjian Pangkor dimeterai pembesar Melayu suatu ketika dahulu.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali, jika dibandingkan kedua-dua perjanjian itu, TPP dilihat lebih realistik dan menguntungkan rakyat Malaysia dalam usaha mengorak langkah kerajaan ke arah mencapai negara maju.

Menurutnya, dengan termeterainya perjanjian TPP, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) negara kini mampu mencapai peningkatan sehingga AS$28 Trilion berbanding nilai KDNK ketika ini mencapai AS$300 bilion.

"Selain itu, perjanjian TPPA akan memastikan pemain ekonomi tempatan bakal berhadapan dengan permintaan pasaran berjumlah 800 juta rakyat dari negara-negara terlibat pada masa hadapan, berbanding 30 juta rakyat sebelum ini.

"Perjanjian itu ditandatangani setelah pihak kerajaan meneliti kandungannya secara mendalam dengan mengambil kira kepentingan ekonomi dan masa depan pelaburan rakyat.

"Justeru, dakwaan kononnya perjanjian TPP menggalakkan penjajahan kali kedua ke atas negara seperti perjanjian Pangkor adalah tidak benar dan bertujuan menakutkan rakyat,"katanya sewaktu menyerahkan sumbangan 'Ang Pow' kepada 150 masyarakat Cina memerlukan di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, manfaat terbesar dikecapi rakyat Malaysia daripada perjanjian ini membolehkan mereka melebarkan peluang dan sayap perniagaan ke peringkat global dengan lebih bebas.

Berikutan itu, beliau menggesa usahawan negara ini lebih berani bersaing dan bersifat kreatif dalam menghasilkan produk lebih canggih dan berkualiti untuk menembusi pasaran luar negara.

"Berdasarkan indeks tahap daya saing dikeluarkan penilai tersohor World Economic Forum (WEF), Malaysia menduduki ranking ke-18 daripada keseluruhan 140 negara di seluruh dunia dan dalam kalangan 12 negara menyertai TPP, kita menduduki tangga keempat negara paling kreatif dan berdaya saing.

"Daripada penilaian Indeks Kecanggihan Ekonomi diambil dari Pengkalan Data Atlas di Massachusetts Institute of Technology(MIT) yang dikaji sarjana MIT dan Universiti Harvard, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 186 dan dalam kalangan negara TPP, kita menduduki nombor enam.

"Dua penilaian itu membuktikan tahap daya saing dan produk eksport kita adalah di tahap canggih dan bukan peringkat budak hingusan. Jadi mengapa usahawan kita harus takut?" katanya.

Dr Noor Azmi berkata, langkah mempelbagaikan haluan eksport ke negara Amerika Latin akan melebarkan destinasi eksport usahawan-usahawan negara ini.

"Melalui pendekatan ini, tahap kebergantungan ekonomi negara terhadap situasi ekonomi semasa negara-negara kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China akan dapat dikurangkan.

"Jadi apabila negara-negara itu berdepan masalah kelembapan ekonomi, kita tidak begitu terkesan,"katanya.

Dr Noor Azmi turut merancang untuk memperluaskan penganjuran forum penerangan TPP kepada rakyat Parlimen Bagan Serai dalam masa terdekat.-Sinarharian

loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Senarai Rasuah KM Sabah & Sarawak..? SPRM tutup mata..